Himpunan #KitaLawan haram Himpunan #KitaLawan di hadapan Sogo, 28 Februari lalu.
 
 
 
KUALA LUMPUR - Orang awam yang menyertai himpunan #KitaLawan pada 7 Mac ini akan dikenakan tindakan undang-undang kerana himpunan itu tidak mengikut undang-undang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap peserta yang hadir sebelum mengambil tindakan.

“Kita tahu hak mereka yang ada mengikut Perlembagaan, walau bagaimanapun kita juga ada undang-undang khusus untuk mengadakan perhimpunan di tempat awam,” katanya pada sidang media selepas perjumpaan dengan penganjur himpunan yang diketuai oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad, semalam.

Zainol berkata, penganjur tidak memberi sebarang notis pemakluman penganjuran himpunan itu sehingga kini.

“Mengikut Akta Perhimpunan Aman, pihak penganjur perlu mengemukakan notis pemakluman 10 hari sebelum sesuatu perhimpunan diadakan.

“Kita telah mencadangkan beberapa kawasan untuk mengadakan perhimpunan dalam perjumpaan sebelum ini, namun penganjur mahu meneruskan di hadapan Sogo pada Sabtu ini,” katanya.

Beliau berkata, penganjur perlu bertanggungjawab jika berlaku sebarang insiden.

“Pihak Sogo juga tidak memberi kebenaran mengadakan perhimpunan di kawasan premis mereka dan laporan polis juga telah dibuat berkaitan isu ini,” katanya.

Menurutnya, sebanyak enam laporan polis telah dibuat terhadap penganjur.

“Penganjur telah mengadakan empat perhimpunan sebelum ini, kita dapati ada peserta yang cuba merosakkan harta benda awam dengan menconteng dinding premis perniagaan dan bas milik polis,” katanya.

Zainol berkata, pihaknya akan memantau dan menjaga keselamatan orang awam sepanjang tempoh itu.

“Himpunan tersebut boleh memberi kesan kepada masyarakat sekeliling,” katanya.

Himpunan #KitaLawan akan tetap diadakan, di mana para peserta akan berkumpul di tiga lokasi iaitu Pasar Seni, Masjid Jamek dan Ibu Pejabat PAS bermula jam 3 petang sebelum bergerak ke Sogo.