Khamis, 12 Mac 2015

Hati Hishammuddin Mungkin Sedang Berbunga-Bunga Tapi...

shahbudindotcom


Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein mungkin sedang berbunga-bunga hatinya ketika ini berikutan kajian yang dibuat oleh Merdeka Center dengan kerjasama Malaysian Insider yang mendapatinya paling dikehendaki sebagai Perdana Menteri akan datang.

Daripada kajian melalui 1008 responden itu, Hishammuddin meraih 19.8 peratus mengatasi pencabar-pencabarnya yang lain iaitu  Khairy Jamaluddin (8.6 peratus), Ahmad Zahid Hamidi (8.4 peratus), Rafizi Ramli (3.9 peratus), Azmin Ali (3.7 peratus) dan Nurul Izzah (1.7 peratus).

Salasilah keluarga, kejayaan mengendalikan kehilangan pesawat MH370 dan imejnya sebagai bukan tokoh kontroversi dalam media menjadikannya pilihan semua kaum serta kepimpinannya lebih dilihat menggambarkan wajah Malaysia yang sebenar.

Bagaimanapun, kajian itu juga menunjukkan 19. 4 peratus mahukannya memimpin BN hanya setelah atau jika Najib Razak dan Muhyiddin Yassin bersara. Maknanya, kelayakan Hishammuddin sebagai Perdana Menteri bukanlah untuk tempoh yang terdekat ini.

Walaupun kajian ini bukan sesuatu yang mutlak tetapi ia sekurang-kurangnya memberi gambaran mengenai kehendak generasi akan datang. Selain menambahkan bunga-bunga dalam hatinya, kajian ini juga boleh memberi lebih keyakinan dan harapan kepada Hishammuddin.

Hampir tercicir dalam pemilihan Naib Presiden UMNO pada 2013 lalu dan insiden mencium keris tapi bertindak menariknya semula, insiden yang benar-benar menyelamatkan kembali imej Hishammuddin ialah kehilangan pesawat MH370.

Beliau kini nampaknya sudah pun mendahului pesaing utamanya, Ahmad Zahid Hamidi yang dua kali berturut-turut meraih kedudukan undi terbanyak dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO.

Secara umumnya, meskipun kedudukan Menteri Pertahanan itu dalam UMNO agak berbelah-bagi, tetapi memang tidak dinafikan Hishammuddin adalah produk yang memang dipersiapkan untuk menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Terutamanya, masyarakat bandar dan separa bandar jauh lebih meminati Hishammuddin berbanding pesaingnya daripada Naib Presiden UMNO yang ada ketika ini.

Tetapi halangan Hishammuddin untuk mencapai cita-citanya politiknya itu ialah Najib Razak yang sedang menduduki kerusi Perdana Menteri ketika ini.

Najib yang sedang nazak dibelenggu dengan pelbagai isu ketika ini hampir tidak diyakini lagi mampu membawa BN meraih kejayaan dalam pilihanraya akan datang. 1MDB yang sudah dianggap skandal kewangan terbesar era kepimpinannya semakin hari semakin menghakis sokongan rakyat kepada BN dan kerajaan.

Jika diambil kira pengenalan cukai GST yang akan bermula 1 April depan yang dijangka menjejaskan lagi sokongan rakyat, terutama golongan muda, harapan BN dibawah Najib jauh lebih terperosok lagi.

BN hanya mempunyai peluang dan harapan lebih baik memenangi pilihanraya akan datang jika bukan Najib yang menjadi Perdana Menterinya. Selagi ada Najib, selagi itulah rakyat terus menjauhi BN.

Bagi memenangi pilihanraya akan datang, Muhyiddin dilihat mempunyai kelebihan berbanding Najib kerana beliau tidak mempunyai banyak isu yang boleh menyusahkan BN. Ada pula yang berpandangan, harapan BN lebih cerah untuk menang jika Tengku Razaleigh Hamzah ditonjolkan menggantikan Najib.

Hishammuddin pula bukanlah calon pilihan yang boleh diharapkan untuk membawa kejayaan kepada BN dalam PRU 14 ini. Beliau dianggap masih muda dan belum cukup berkemampuan untuk tugas itu.

Anak kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Hussein Onn ini hanya dianggap pilihan setelah BN berjaya memenangi PRU 14 dan untuk tahun-tahun seterusnya selepas itu.

Dalam ertikata lain, jika BN kecundang atau hilang kuasa dalam pilihanraya 2018 nanti, bermakna harapan Hishammuddin untuk menjadi Perdana Menteri juga akan turut musnah atau tergendala untuk beberapa tahun datang.

Cita-cita Hishammuddin menjadi Perdana Menteri hanya boleh direalisasikan selagi BN mampu mengekalkan kuasanya. Tetapi persoalan paling utama untuk memastikan BN kekal berkuasa pula, Najib harus diketepikan terlebih dahulu.

Perkiraan mudahnya ialah jika Hishammuddin benar-benar ingin menjadi Perdana Menteri, beliau mesti berani bersama-sama dalam usaha menurunkan Najib daripada jawatannya itu.

Tiada ulasan: