GST: Terpulang kepada kerajaan Tengku Razaleigh (kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Sarana kepada Sulaiman Mat Diah pada Mesyuarat Agung SMK Tengku Indera Petras 2, semalam.
 
 
 
GUA MUSANG – Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, terpulang kepada kerajaan sama ada mahu menerima atau menolak cadangannya supaya pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April ini ditangguhkan.

Katanya, beliau hanya melaksanakan tanggungjawab menyampaikan hasrat rakyat untuk meminta kerajaan menangguhkan dahulu pelaksanaan GST itu di Parlimen Selasa lalu, kerana cukai itu boleh membebankan perbelanjaan rakyat.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang belum memberi jaminan sama ada harga barangan keperluan naik atau turun dan jika naik sudah tentu akan menimbulkan masalah kepada rakyat.

“Oleh itu, pelaksanaan GST bagi pandangan saya (berdasarkan) aduan rakyat ia sewajarnyalah ditangguhkan dahulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petras 2 di sini, pagi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bahawa kerajaan tetap akan kuat kuasakan GST pada 1 April ini, walaupun beliau sudah menyuarakan di Parlimen hasrat rakyat minta pelaksanaannya ditangguhkan.

Dalam satu kenyataan kementerian Kewangan kelmarin, kerajaan akan tetap melaksanakan GST mulai 1 April ini seperti yang diluluskan Parlimen dan tidak bercadang untuk menangguhkan pelaksanaan itu.

Kementerian terbabit berkata, sehingga kelmarin, sebanyak 353,372 syarikat sudah berdaftar dengan GST dan ini menunjukkan perniagaan secara umumnya menyokong dan bersedia untuk pelaksanaan sistem cukai baharu itu.

Katanya, penangguhan akan memberi impak negatif ke atas penarafan kredit Malaysia kerana pelaksanaan GST adalah satu langkah konsolidasi fizikal yang amat penting untuk memastikan kemampuan ekonomi negara.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, rakyat keseluruhan bukan menolak pelaksanaan GST itu, tetapi hanya minta kerajaan supaya menangguhkan ia sementara.

“Kita tidak ada kuasa untuk menahan pelaksanaan GST itu hanya terserah kepada pertimbangan kerajaan sama ada boleh menangguhkan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, rakyat bawahan takut dan bimbang sekiranya GST dilaksanakan, harga barangan naik sekali gus  membebankan perbelanjaan mereka kerana ketika itu terpaksa membayar cukai yang dikenakan.

“Mereka (rakyat) amat takut sekali untuk hadapi GST walaupun pada dasarnya mereka faham apa yang di perjelaskan kerajaan, tapi soal bebanan perbelanjaan perlu diambil kira,” katanya.