Isnin, 30 Mac 2015

GST: Kementerian Pendidikan perlu beri penjelasan nasib pelajar



Oleh Mohammad Fazril Mohd Saleh
 

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyatakan kerisauan dan keresahan kami akan nasib para pelajar khususnya mahasiswa yang menuntut di peringkat pengajian tinggi selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) April ini.

GST yang diuar-uarkan di media sebagai “baik” dan “dapat mengurangkan harga barangan” ternyata suatu penyelewengan daripada realiti.

Pihak kami menerima aduan daripada para mahasiswa mereka menerima notis daripada pihak pentadbiran universiti tentang kenaikan harga yuran pengajian, asrama, dan yuran berkaitan yang menyebabkan kos sara hidup mereka semakin meningkat.

Kerajaan berjanji beberapa barangan dan sektor perkhidmatan dikecualikan daripada GST. Antaranya adalah sektor kesihatan, pengangkutan awam dan pendidikan (exempted)  dan beberapa barangan keperluan asas (zero-rated).


Namun, pihak kami meragui kesan pengecualian GST atas perkhidmatan tersebut kerana penyedia perkhidmatan tetap dikenakan GST dalam kos pentadbirannya. Justeru, walaupun pengguna perkhidmatan tersebut dikecualikan daripada GST tetapi harga perkhidmatan akan tetap dinaikkan, dan mahasiswa akan menjadi mangsanya.

Mungkin sesetengah pihak menarik nafas lega setelah perdana menteri baru-baru ini mengumumkan buku-buku termasuk dalam kelompok barang perbekalan berkadar sifar. Namun begitu, akibat pelaksanaan GST, pihak pencetak dan penerbit buku tetap  akan menaikkan harga buku walaupun tanpa GST dan rakyat tetap akan terbeban dengan kenaikan tersebut.

Apatah lagi, dalam riuh rendah keresahan rakyat terhadap GST, tiba-tiba secara mengejut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) mengumumkan kenaikan harga tambang perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta merta, menjadikan keadaan semakin meresahkan.

Dalam masa yang sama, pinjaman PTPTN pun dikurangkan menjadikan kehidupan kemahasiswaan semakin tertekan. Perlu diingat mahasiswa adalah kelompok tidak berkerjaya dan tiada perolehan pendapatan.

Mahasiswa juga terpaksa menanggung kesan kenaikan harga barang secara mendadak. Mereka juga perlu berbelanja untuk makanan, perkhidmatan awam, yuran pengajian, buku akademik dan peralatan pengajian.

Atas pertimbangan ini, ramai mahasiswa marah dan sesetengah mereka menyatakan bantahan secara terbuka termasuk melalui unjuk rasa dan demonstrasi. Tindakan mereka disebabkan rasa kesal terhadap janji kerajaan untuk mengutamakan rakyat.

Oleh demikian, pihak PKPIM memohon penjelasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam isu kenaikan kos pendidikan dan sara hidup mahasiswa.

Kami juga mendesak menteri pendidikan dan ketua pengarah pendidikan bersuara mempertahankan nasib mahasiswa yang menjadi mangsa kenaikan harga yuran perkhidmatan pengajian dan barangan. Antara cadangan kami kepada pihak KPM ialah:

i) Kawalan harga dan pengecualian kepada mahasiswa daripada terkena impak segera GST khususnya untuk harga makanan dan minuman di kafe universiti, serta harga barangan dan perkhidmatan dalam kampus.

ii) Jaminan perlindungan kepada mahasiswa daripada kenaikan harga yuran pengajian dan servis lain seperti asrama dan perkhidmatan oleh universiti.

iii) Diskaun kepada mahasiswa untuk perkhidmatan awam, pembelian buku dan barangan pengajian. Kad Siswa 1Malaysia wajar diperluaskan penggunaannya.

Perlu dinyatakan di sini, sebagai pertubuhan mahasiswa, kami juga melakukan tinjauan dan kajian impak ini secara ilmiah. Bukanlah telahan kami ini bermaksud menafikan kesan positif GST untuk perkembangan ekonomi negara akan tetapi melihat kepada kondisi semasa ketidakstabilan ekonomi dalam negara, kami berpandangan adalah tidak sesuai untuk ia dilaksanakan.

Ternyata impak negatif lebih nyata daripada kesan positif yang diuar-uarkan oleh kerajaan selama ini.
Kegagalan KPM memenuhi tuntutan ini akan menatijahkan kesan buruk kepada mahasiswa dan tidak mustahil aksi-aksi bantahan akan terus dijalankan secara lebih agresif. –

* Penulis adalah presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Tiada ulasan: