Jumaat, 13 Mac 2015

GST haram

Faiz Zainudin


Ia haram dikutip kerana tidak menepati 3 syarat pengharusan cukai dalam Islam

khairudin takiri


PETALING JAYA: PAS mendesak Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan supaya mengkaji balik faktwa yang mengharuskan tindakan kerajaan untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, beliau menolak fatwa keharusan GST yang dibuat sebelum ini malah mendakwa tindakan tersebut jelas haram untuk dilaksanakan.

“Semasa menyampaikan ucapan menjunjung kasih titah YDPA semalam di Dewan Rakyat, saya telah menyatakan beberapa hujah bahawa GST bercanggah dengan prinsip percukaian Islam.

“Ia haram dikutip kerana tidak menepati 3 syarat pengharusan cukai dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, kerajaan berhak mengenakan cukai kepada rakyat jika negara berada dalam keadaan terdesak dan memerlukan bantuan rakyat dan bukanya disebabkan berlakunya ketirisan atau pemborosan.

Katanya, apa yang berlaku adalah kerajaan pada masa ini masih lagi mempunyai pelbagai sumber yang lain untuk menambahkan pendapatan negara bukannya melalui GST.

“Kerajaan masih mempunyai sumber selain cukai GST yang boleh dioptimumkan bagi menambah hasil pendapatan negara.

“Realitinya ialah kerajaan masih boros berbelanja sehingga berlaku defisit dalam belanjawan selama 18 tahun berturut-turut.

“Malah Laporan Audit Negara mengesahkan berlakunya ketirisan dalam pengurusan perbelanjaan negara sehingga dianggarkan antara RM23 bilion hingga RM40 bilion setahun,” jelasnya.

Beliau juga bersedia untuk berdepan dengan pihak Jawatankuasa Fatwa mewakili PAS untuk memberi penjelasan dan pandangannya berhubung perlaksanaan GST.

Tiada ulasan: