Selasa, 10 Mac 2015

Gobind: KPN pilih kasih, hanya tangkap pemimpin Pakatan Rakyat

gobind singh deo

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menyelar sikap pilih kasih Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar yang hanya melakukan tangkapan keatas pemimpin Pakatan Rakyat atas dakwaan tertentu, dalam masa sama melepaskan pemimpin BN.

Ketika mencelah ucapan perbahasan titah Diraja Ketua Pempangkang yang dibacakan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Gobind menyentuh isu penangkapan pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat ekoran perhimpunan #KitaLawan di hadapan pasaraya Sogo, Sabtu lalu.

“Penangkapan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat oleh pihak polis ini jelas adalah satu tindakan pilih kasih.

“Sedangkan menteri-menteri kerajaan yang jelas melanggar undang-undang dibiarkan,” kata Gobind di Dewan Rakyat yang turut disokong Nurul Izzah.

Beliau turut memberikan contoh bahawa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Ismail Sabri tidak ditangkap selepas jelas mengeluarkan kenyataan menghasut dan berbaur perkauman kerana menyeru orang Melayu untuk memboikot perniagaan orang Cina.

“Pimpinan Pakatan Rakyat (merujuk Ketua AMK PKR Nik Nazmi) ditangkap ketika memberikan kerjasama dengan polis.

“Tetapi Ismail Sabri dilepaskan begitu sahaja. Ya betul, ini adalah tindakan pilih kasih oleh KPN,” kata Nurul Izzah. – Roketkini.com

Tiada ulasan: