Geng Mat Ganu ditahan bersama 41 botol heroin
 
 
 
KOTA BHARU - Dua lelaki dari anggota sindiket 'Geng Mat Ganu' ditahan bersama 41 botol heroin dalam serbuan di Jalan Sultan Ibrahim, di sini, Khamis lalu.

Masing-masing yang berusia 27 tahun dan 45 tahun itu ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Perodua MyVi yang dipakirkan di hadapan sebuah kedai oleh sekumpulan anggota serta pegawai dari Unit Task Force, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, hasil pemeriksaan dalam serbuan jam 10.45 malam itu menemui 40 botol plastik cerah bertudung kuning berisi serbuk dadah di bawah tempat duduk penumpang hadapan dan satu di atas alas kaki penumpang sama.

Katanya, dadah dengan anggaran berat 125 gram itu dipercayai diseludup masuk dari Golok untuk dibawa ke pasaran sekitar Terengganu sehingga sejauh Kuantan, Pahang.

“Mereka menggunakan Kota Bharu sebagai transit sebelum membawa dadah-dadah itu ke Terengganu dan dipecahkan kepada kira-kira 200 tiub penyedup minuman bagi setiap botol serta boleh dijual kepada 8,500 penagih,” katanya pada sidang media di IPK, di sini, hari ini.

Menurutnya, seorang daripada mereka bekerja sebagai buruh dan beralamat di Jalan Lapangan Terbang Sura Hujung, Dungun, Terengganu, manakala seorang lagi adalah peniaga kedai makan yang tinggal di Kampung Gong Gemia, Paka, Terengganu.

“Sindiket ini dikesan aktif sejak Oktober tahun lalu dan polis masih giat mengesan rangkain yang terbabit sama dalam kegiatan sindiket ini mengadakan urusan penyeludupan jual beli dadah.
“Susulan itu, mereka ditahan reman selama seminggu sehingga 19 Mac ini bersama dadah bernilai RM82,000 berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori,” katanya.