Dr Daroyah Alwi Dr Daroyah Alwi
 
 
 
SHAH ALAM - Exco Negeri Selangor turut mencabar kepimpinan Umno untuk berani tampil mengisytiharkan harta seperti yang disaran Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong Keat Ping berkata, pengisytiharan harta sudah dibuat Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2008 lagi.

"Kita sudah buat lama pun, sejak 2008 lagi kita dah buat. Semua Exco negeri, adun termasuk menteri besar perlu membuat pengisytiharan harta.

"Jika mahu desak Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali buat mengisytiharkan harta, mereka juga patut desak Presiden Umno untuk buat perkara yang sama," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Elizabeth, Umno sepatutnya malu kerana PR sudah lama melaksanakan perkara tersebut.

"Pengisytiharan harta ini juga boleh buktikan yang kerajaan negeri selama ini telus dan kita tidak ada masalah pun untuk buat perkara itu kerana memang setiap wakil rakyat perlu mengisytiharkan harta sepertimana yang dicadangkan Dun," katanya.

Dalam pada itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, tiada masalah untuk seseorang wakil rakyat itu membuat pengisytiharan harta.
"Menteri besar pun patut isytihar harta dan itu tidak menjadi masalah. Kami Exco pun semua buat pengisytiharan harta termasuk juga dengan Adun. Menteri besar juga sudah memandangkan beliau ialah adun dan juga ahli parlimem," katanya.

Sebelum ini, Syed Ali kesal kerana ada pihak terus mempertikaikan kekayaan keluarga perdana menteri mencabar pemimpin Pakatan mengisytiharkan harta dan beliau mendakwa Azmin dan isterinya 'memiliki aset yang meragukan'.