ADA siapa yang tahu KBAT? Ketika setiap hari fikiran kita diasak oleh GST, NKRA, KDNK, JPJ, JKKK, CIMB, PTPTN, 1MDB, KPDNKK dan beribu-ribu lagi huruf singkatan, tentu tidak ramai yang peduli tentang KBAT.

Itu adalah singkatan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi yang mula diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan tahun lalu. Di bawah kaedah ini pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikehendaki menjawab soalan menggunakan fikiran dan tidak tertakluk kepada set jawapan yang telah ditetapkan.

SPM tahun lalu pertama kali soalan bercirikan KBAT diperkenalkan. Keputusan yang diumumkan dua hari lalu, ada sedikit kemerosotan. Seperti dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof pencapaian keseluruhan menurun.

Gred Purata Nasional (GPN) menurun sebanyak 0.15 mata dengan mencatat 5.08 berbanding 4.93 mata pada 2013. Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran juga menurun, hanya 11,289 calon berbanding 13,970 calon pada 2013.

Prestasi menurun juga untuk subjek teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains. Tetapi subjek Pendidikan Islam meningkat sebanyak 0.14 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu 4.28 mata berbanding 4.42 pada tahun 2013.

Mungkin faktor KBAT, tetapi menurut Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kementeriannya juga akan mengkaji dengan lebih mendalam beberapa faktor lain yang menyumbang kepada turun naik keputusan peperiksaan.

Pada hemat saya biar menurun sedikit, KBAT membantu pelajar berfikiran lebih terbuka dalam menjawab soalan. Pada peringkat SPM mereka patut diajar berfikir lebih kreatif dan kritis.

Sebelum ini kaedah menjawab soalan seperti telah ditentukan set jawapan. Sebab itu ramai pelajar mengambil jalan pintas dengan merujuk contoh soalan dan contoh jawapan untuk peperiksaan tahun-tahun sebelumnya.

Sesetengahnya mendapat keputusan cemerlang berpandukan kepada soalan-soalan ramalan ini. Ramai juga yang cemerlang kerana soalan bocor yang menjadi semacam budaya dalam dunia peperiksaan di tempat kita.

Biar kurang dapat A asalkan pelajar boleh berfikir dan tidak tertakluk hanya kepada buku-buku teks yang tebal. Bukan tidak perlu buku teks, tetapi pelajar juga perlu menambah pengetahuan dengan keprihatinan terhadap benda-benda lain di keliling mereka. Selain akademik mereka juga perlu membiasakan dan menyesuaikan mental dan fizikal terhadap ciri-ciri lain dalam kehidupan.

Masalah orang kita, terutama ibu bapa, ialah tumpuan diberikan supaya anak-anak mereka mendapat banyak A. Kalau dapat 10 A itu satu kejayaan besar, kalau dapat 15 lagi megah. Pelajar dan ibu bapa – lebih-lebih lagi ibu! – boleh masuk surat khabar dan TV.

Bagi ibu bapa memperoleh banyak A adalah jaminan kehidupan atau masa depan yang lebih baik untuk anak-anak. Kalau tidak ada A, gelaplah masa depan. Apakah benar?

Apa pun seperti yang dibuktikan oleh angka-angka keputusan SPM yang baru diumumkan masih baik, kurang sedikit sahaja dari tahun sebelumnya. Ertinya KBAT tidak menjejaskan prestasi pelajar.

Daripada sejumlah 455,839 calon yang menduduki peperiksaan tahun lalu 11,289 memperoleh keputusan semua A. Syabas kepada mereka yang meraih banyak A. Tetapi perlu diingat A sahaja tidak mencukupi untuk meneroka global. Perlu tingkatkan juga kemahiran-kemahiran lain.

Maka teringat saya zaman SPM tiga empat dekad dulu. Bersama saya di sebuah sekolah kampung ada kira-kira 100 orang menduduki peperiksaan penting itu. Tidak ada seorang pun mendapat gred 1. Tiga orang mendapat gred 2, yang lain-lain sama ada gred 3, atau gagal.

Saya mendapat gred 3, hanya sebutir A, subjek Bahasa Malaysia, tidak menangis pun. Sebaliknya yang mendapat gred 2 – semua pelajar perempuan – pula yang menangis teresak-esak. Saya memberitahu mereka: “Jangan menangis, tidak dapat gred 1 pun boleh hidup, boleh kahwin!”

Terbukti tanpa 10 A pun ramai kawan-kawan saya kini berjaya. Ada yang menjadi doktor, peguam, pensyarah, pegawai tentera. Ramai juga yang dulu kantoi kini menjadi usahawan berjaya.

Malah, beberapa orang yang dulu gagal SPM – semua dapat E – kini mengusahakan tanah kampung dengan tanaman sayur dan ternakan ayam, masing-masing menjadi tauke berpendapatan lumayan.

Pendek kata kalau belajar bersungguh pasti boleh mendapat 10, hatta 20 A dalam SPM. Tetapi, percayalah A keliling pinggang bukan jaminan hidup berjaya. Jadi, yang tidak dapat A jangan putus asa.