Emas murah di Kuala Pilah
 
 
 
PADA sekitar 80-an, saya pernah teman nenek ke sebuah kedai emas di pekan Kuala Pilah. Kalau tak silap, beli barang kemas untuk nenek sendiri.

Mulanya memang saya mengelak bila nenek mengajak. Dalam hati lebih baik duduk berbaring di katil, membaca novel sambil berkhayal bersama watak dan perjalanan plotnya.

Tapi saya tidak dapat mengelak 'ajakan paksa' nenek.

Melangkah masuk ke Kedai Emas Poh Soon, tiada yang menarik minat saya. Walau kedai itu kelihatan baharu, walau barangan kemas yang tersusun mengeluarkan cahaya berkilau, entah kenapa...hati tidak terpikat.

Lagipun ketika itu bagi saya, barang kemas (emas) adalah aksesori orang tua. Malah melihat perempuan bagai kedai emas bergerak, pemandangan saya jadi semak.

Waktu nenek berbual dengan uncle bertubuh kurus sambil menunjuk-nunjuk barang kemas tersimpan dalam cermin kaca, mata saya melilau memandang arah luar kedai. Tiada yang menarik dalam kedai itu untuk perhatian.

Tapi bila nenek mula tawar menawar, saya mula beralih mengadap.

Nenek bijak berbalah harga. Saya tidak ingat berapa segram emas 916 ditawarkan pada masa itu. Yang saya ingat, nenek akan minta kurang sehingga lebih daripada 10 ringgit selepas uncle kurus buka mulut.

Bila nenek menjeling, saya sudah faham. Saya perlu mendarab jumlah sebenar barang kemas yang mahu nenek beli. Itulah tugas khas saya setiap kali nenek bawa ke kedai emas.

Itu cerita waktu usia saya masih belasan tahun.

Kini nenek sudah lama tiada. Tapi yang paling saya ingat, nenek pernah pesan "kalau beli emas di sini (Kuala Pilah) mesti tawar sehingga serendah RM30 daripada harga pasaran."

Hari ini, Kedai Emas Poh Soon masih wujud di pekan Kuala Pilah.

Saya tidak tahu uncle kurus masih ada di kedai itu atau pun tidak. Tapi yang pasti Kedai Emas Poh Soon dan enam lagi kedai emas lain di pekan Kuala Pilah, semakin terkenal di seluruh Malaysia. Malah ada warga Singapura yang datang ke Kuala Pilah semata-mata untuk beli emas.

Kenapa Kuala Pilah? Benarkah harga emas di bandar kecil ini jauh lebih murah berbanding tempat lain?

Sebenarnya, harga emas murah di Kuala Pilah bukan satu cerita baru. Peminat dan pengumpul emas sudah mengetahuinya sejak lama dulu.
Dan untuk memastikan kebenarannya, Kedai Emas Poh Soon dijadikan premis terjahan pertama.

Daftar persatuan

“Ramai dari negeri luar datang sini beli emas. Mereka cakap harga sini murah berbanding tempat lain,” kata peniaga Kedai Emas Poh Soon, lebih dikenali Poh, 60-an.

Beliau berkata, harga emas di sini murah disebabkan kedai tersebut telah berdaftar dengan Persatuan Pekedai Emas Malaysia.

“Saya tidak tahu harga emas kedai lain kerana ia berbeza. Ada kedai berdaftar dengan persatuan, ada tidak.

“Kalau dulu, harga emas 916 di sini boleh mencecah RM120 segram dan harganya akan berubah setiap hari.

“Hari ini, harga emas RM133 segram manakala harga pasaran luar, RM170. Memang ia jauh lebih murah,” katanya.

Poh yang sudah berniaga selama lebih 30 tahun, sering didatangi pelanggan dari luar Negeri Sembilan.

“Ada pelanggan datang dari Perak, Singapura, Melaka, Johor Bahru, Pulau Pinang, dan semua yang datang ke sini, tahu emas di Kuala Pilah murah melalui internet.
“Walaupun harga murah, kualiti juga bagus setanding di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, pelanggan setia, R Santhi, 46, berkata, kedai ini jauh lebih murah dan kualiti emas juga sangat bagus.

“Saya selalu datang kedai ini untuk beli emas, kerana harganya berbeza dengan tempat lain, lagi pun  pekerja di sini sangat peramah dan membuatkan kita rasa selesa.

“Saya memang tahu emas di Kuala Pilah murah. Malah saya turut mempromosikan kepada adik-beradik, rakan-rakan untuk beli emas di sini. Pastinya amat berbaloi,” katanya.

Rani, 53, pula memberitahu, harga emas di Kuala Pilah pernah mencecah serendah RM120 segram, baru-baru ini.

“Waktu itu, memang ramai orang di kedai emas. Hari ini harga naik sedikit tetapi ia masih lagi antara termurah.

“Tidak semua kedai emas di sini jual harga sama walaupun jarak antara satu kedai dengan yang lain hanya beberapa langkah. Ada yang lebih RM2 hingga RM3.

Orang ramai perlu bijak memilih kedai mana paling murah dan berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Zawiyah Hamzah, 65, dari Felda Bukit Rokan sanggup berkunjung ke Kuala Pilah semata-mata mahu membeli emas.

“Makcik sudah tahu, emas di sini murah. Makcik sanggup datang walau jauh. Walaupun murah, tetapi kualiti baik dan sama di tempat lain.

"Di Kedai Chan Kwong, harga emas RM135 segram. Ini pun dah kira murah berbanding di Bahau dan negeri lain,” katanya.

Menurut pekerja kedai runcit, Maisuri A Rashid, 50, fenomena emas murah di Kuala Pilah sudah lama diperkatakan.

“Saya yang kerja di kedai runcit ini pun sering ditanya pelanggan tentang harga emas. Bukan setakat orang Negeri Sembilan, malah dari negeri lain pun ramai.

“Saya akui emas di Kuala Pilah memang murah. Saya suka pergi ke kedai emas Cheah Poh Hing, kerana  banyak design yang cantik dan terbaru,” katanya.

Selain itu, katanya, pembeli boleh memeriksa ketulenan emas yang dijual di mana-mana kedai, bagi mendapatkan kesahihan emas itu, dan terbukti emas yang dijual di Kuala Pilah adalah asli.

“Jangan dengar bila orang cakap, harga emas murah tidak berkualiti. Bohong. Ia berkualiti dan tulen sama sahaja di kedai-kedai lain,” katanya.