Khamis, 12 Mac 2015

DUN Chempaka: PAS tidak tergugat meskipun berdepan saingan empat pencabar - Khalil Abdul Hadi

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi optimis kedudukan parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka tidak akan tergugat meskipun calonnya berdepan saingan empat wakil Bebas. 
 
Jelas Khalil, DUN Chempaka adalah kubu kuat PAS sejak sekian lama dan sukar untuk mana-mana parti lain menembusi tembok yang terbina dibawah kelolaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
"Yang pertamanya DUN Chempaka ini merupakan kubu kuat PAS dan secara umumnya Parlimen Pengkalan Chepa itu sendiri sebab Parlimen Pengkalan Chepa ini adalah satu-satunya Parlimen yang PAS tak pernah kalah sejak daripada pilihan raya yang pertama diadakan.
 
"Jadi saya optimislah insya-Allah PAS akan berjaya mempertahankan kerusi DUN Chempaka ini," katanya kepada Antarapos.
 
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chempaka yang sebelum ini dijangka tidak begitu menarik perhatian, tiba-tiba berubah keadaannya apabila empat calon Bebas turut bertanding bersama calon PAS.
 
Calon PAS Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, berdepan saingan lima penjuru dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 22 Mac.
 
Empat calon Bebas yang bertanding itu ialah bekas calon bebas PRK DUN Pengkalan Kubor Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin, 55; dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64.
 
Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Nik Abdul Aziz, akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.
 
PAS tidak berdepan saingan kuat daripada calon Bebas
 
Menurut Khalil lagi, PAS dijangka tidak akan berhadapan tentangan kuat dari calon-calon Bebas memandangkan mereka bergerak atas kapasiti kumpulan kecil berbanding parti Islam itu.
 
"Kalau kita nak bercakap pasal persaingan, kalau kita nak ukur dari segi petugas-petugas parti sudah tentu parti-parti Bebas bergerak atas kapasiti sebagai parti Bebas dengan tiada petugas-petugas.
 
"Sedangkan kita PAS mempunyai petugas di semua peringkat termasuk DUN, UPU (Unit Peti Undi) sehingga ke akar umbi iaitu cawangan-cawangan," katanya.
 
Beliau menambah senario kempen akan berubah sekiranya Barisan Nasional(BN) turut serta dalam pilihan raya kecil itu.
 
"Jadi saya rasa insya-Allah kami tidak akan menerima tentangan yang kuat dari parti Bebas," katanya.
 
Ditanya sekiranya ketokohan Allahyarham Nik Aziz menjadi tunjang kemenangan PAS, Khalil menolak andaian berkenaan namun setuju bekas Menteri Besar Kelantan itu mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan rakyat Kelantan.
 
"Saya melihat sudah tentu ketokohan tok guru itu tak dinafikanlah menjadi salah satu faktor PAS memenangi DUN Chempaka sejak daripada dulu.
 
"Tetapi secara umumnya sokongan rakyat Kelantan kepada PAS ini perlu diukur daripada aspek idealisme perjuangan PAS itu sendiri bukan dari aspek calon," katanya.
 
Beliau menambah dasar dibawa PAS termasuk pelaksanaan hukum hudud di Kelantan turut menyumbang kepada kemenangan di DUN Chempaka.
 
"Saya percaya bahawa dengan dasar yang dibawa oleh PAS pada hari ini khususnya berkait dengan isu hudud kerana ia sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan yang berpegang kuat dengan Islam.
 
"Jadi saya percaya bahawa faktor itu akan menjadi satu faktor yang utama untuk PAS mempertahankan kemenangan," katanya.
 
 

Tiada ulasan: