Dua pesawat Lima’15 dilapor terhempas Keadaan pesawat yang terhempas ketika melakukan latihan sempena Lima'15. -Foto oleh Pembaca Sinar Harian Muhammad Afiq Nasir
 
 
 
LANGKAWI - [DIKEMASKINI] Dua pesawat pasukan Jupiter dari Indonesia terhempas ketika melakukan latihan aerobatik sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2015 (Lima'15) di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun nasib dua juruterbang masih belum diketahui.

Lima'15 berlangsung di sini dari 17 hingga 21 Mac dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lima'15 akan menampilkan lima pasukan aerobatik masing-masing dari Emiriyah Arab Bersatu, Singapura, China, Indonesia dan Malaysia.

Pada pameran itu juga pengunjung berpeluang menyaksikan kehadiran pesawat pengebom (USAF) B52 Tentera Udara Amerika Syarikat yang berpangkalan di  Guam, sebuah pulau di Lautan Pasifik.

Sementara itu, menurut Jurucakap Bomba dan Penyelamat Langkawi berkata, nahas berlaku pukul 2.04 petang ketika sekumpulan enam pesawat jenis KT-1B itu sedang melintasi ruang udara MIEC, sebelum dua daripadanya berlanggar di udara dan terbabas.
  
Kedua-dua pesawat kemudian dilihat terhempas di luar kawasan lapangan terbang, disusuli api dan kepulan asap.
  
Seorang saksi, Husin Ahmad, 25, berkata beliau ternampak juruterbang sempat menyelamatkan diri menggunakan payung terjun.

"Saya sedang makan, tiba-tiba ternampak kedua-dua pesawat itu berlanggar sesama sendiri di bahagian ekor menyebabkan ia berasap sebelum terhempas.

"Saya juga nampak seorang juruterbang sempat terjun menggunakan payung terjun," katanya dipetik Bernama.

Seorang lagi saksi Zairi Halim, 35, berkata dia sedang makan tengah hari sebelum anaknya berlari balik ke rumah dan memberitahu ada jet terhempas berdekatan kawasan rumah mereka.

Sementara itu, seorang lagi saksi berkata pesawat Jupiter milik Indonesia yang terhempas di Kedawang itu turut mengakibatkan sebuah rumah penduduk tempatan terbakar.

Kebakaran itu, kemudiannya dipadamkan anggota bomba.

Pameran Lima'15 yang dijadual berlangsung bermula 17 hingga 21 Mac ini akan menyaksikan lima pasukan, termasuk AU-TNI, membuat pertunjukan akrobatik.