Jumaat, 13 Mac 2015

Dr M: Besar kemungkinan BN kalah PRU depan

MALAYSIAKINI


 


Walaupun penerangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) diterima oleh akar umbi Umno, besar kemungkinan BN kalah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang

“Besar kemungkinan BN akan kalah pada 2018, walaupun ketua-ketua Umno sokong dan terima dengan puas hati penerangan yang dibuat.

“Ingatlah undi orang Umno  sahaja tidak cukup untuk menang pilihan raya,” kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menulis di blog hari ini, Mahathir (kiri) berkata jika tiada siasatan forensik oleh polis dibuat susulan tuduhan beberapa pihak yang terlibat dengan pengurusan 1MDB, sokongan rakyat pada BN akan terus merosot.

“Jika ini tidak dibuat dan dibuat secepat mungkin, sokongan rakyat yang sudah pun merosot dalam PRU 2008, 2013 akan merosot lagi,” katanya.

Mahathir juga berkata menyatakan dakwaan dibuat sebagai fitnah semata-mata tidak cukup untuk rakyat menolak tuduhan tuduhan berkaitan 1MDB.

Katanya, rakyat masih tidak berpuas hati dengan perkara itu dan membincangkannya di mana-mana sahaja.

“Jika mereka tidak puas hati dan tidak sokong BN dalam PRU akan datang, BN mungkin kalah.

“Dan jika BN ditolak, sokongan kepada presiden oleh pemimpin bahagian Umno tidak lagi bermakna,” katanya. 


Tiada ulasan: