Jumaat, 6 Mac 2015

Dilarang sertai #Kita lawan – Guan Eng

FREE MALAYSIA TODAY
 

Semua ADUN PKR Pulau Pinang berada di kawasan sendiri, keutamaan harus diberi kepada rakyat.


lim guan eng2


GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan semua wakil rakyatnya berada di kawasan masing-masing esok, sekaligus tidak menyertai perhimpunan kemuncak #KitaLawan dijadual di hadapan kompleks membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kesemua Adun Pakatan Rakyat perlu berada di kawasan masing-masing untuk majlis Program Penghargaan Warga Emas.

Katanya, perhimpunan #KitaLawan hanya dianjurkan oleh sayap Pemuda, dan oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beliau harus memberi keutamaan kepada projek rakyat.

“Kami adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan esok merupakan pelancaran Program Penghargaan Warga Emas di semua kawasan. Semua wakil rakyat telah diarah supaya berada di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah skim perumahan awam dan mampu milik di Jalan SP Chelliah.

Guan Eng berkata, beliau sendiri juga mempunyai program di kawasannya di Air Putih pagi esok dan tidak akan menghadiri perhimpunan di Kuala Lumpur itu yang mahu diadakan oleh PKR bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun, 2008.

Pada 27 Februari lepas, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan mengikut lunas undang-undang untuk menganjurkan perhimpunan itu.

Tiada ulasan: