Selasa, 17 Mac 2015

'Dibuang asrama UM jika hadiri perhimpunan'

MALAYSIAKINI


 


Pelajar yang menginap di asrama kampus Universiti Malaya dikatakan telah diugut akan dibuang asrama jika mereka ditangkap menghadiri perhimpunan Kita Lawan.

Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM), Teh Wei Loon berkata ugutan itu telah dibuat pada 12 Mac, semasa sesi dialog antara pelajar dan pihak pengurusan kolej kediaman berkenaan.

Katanya, orang berkenaan yang juga seorang pensyarah di Fakulti Kejuruteraan UM, memaparkan satu poster perhimpunan Kita Lawan semasa dialog tersebut.

"Beliau memberi amaran kepada semua pelajar, dengan mengatakan jika diamdapati ada yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu, atau dalam perhimpunan akan datang, mereka tiada berpeluang tinggal di kolej kediaman pada semester akan datang," kata Teh semalam.

Ketika dihubungi Malaysiakini lewat semalam, Tan berkata, pensyarah tersebut telah menyalahgunakan kuasanya dengan mengganggu hak pelajar untuk berhimpun, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Tan menggesa pihak universiti supaya menyiasat perkara itu dan meminta pensyarah berkenaan memohon maaf kepada para pelajar.

Beliau juga mempersoalkan dasar kemasukan ke kolej kediaman, berkata kenyataan pensyarah itu seolah-olah orang yang menjaga asrama mempunyai kata putus sama ada pelajar boleh diberi tempat tinggal atau sebaliknya di asrama UM.

Ini bercanggah dengan syarat bahawa mereka perlu memenuhi kriteria tertentu, seperti mengisi borang permohonan, menghadiri aktiviti asrama dan memprolehi markah merit sepertimana dimaklumkan oleh pihak universiti kapda mereka, kata Teh.

Dipanggil beri keterangan pada HEP

"Selain itu, pelajar perlu membayar yuran penginapan sebanyak RM1,000 bagi setiap semester, dengan tiga pelajar berkongsi satu bilik," kata Teh.

Seorang jurucakap UM, ketika dihubungi lewat semalam, memberitahu Malaysiakini bahawa pihak universiti akan menyiasat perkara itu.

Setakat ini, katanya, tidak ada apa yang hendak dilaporkan dan naib canselor mahu mendengar dari kedua belah pihak.

Beliau mengesahkan bahawa siasatan terhadap sesi dialog itu masih berjalan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Teh memberitahu Malaysiakini bahawa dia telah dipanggil untuk memberikan kenyataan mengenai perkara itu oleh seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

"Saya memberitahu pegawai itu apa yang berlaku dan juga tuntutan pelajar dan persatuan pelajar supaya tindakan diambil terhadap pensyarah berkenaan," katanya

Perhimpunan Kita Lawan di Kuala Lumpur pada 7 Mac - yang diadakan sebagai protes terhadap pemenjaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas disabitkan terhadap tuduhan liwat, - telah menarik kira-kira 10,000 orang turun ke jalanan.

Berikutan perhimpunan tersebut, polis bertindak terhadap penganjur protes itu, dengan sembilan daripada mereka ditangkap setakat ini.

Yang terbaru adalah anak perempuan sulung Anwar yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, yang ditangkap semalam.


Tiada ulasan: