Mohd Khairuddin Aman Razali
 
 
 
SHAH ALAM - DAP tidak perlu mengugut Pas dengan ancaman PR akan berpecah jika Pas meneruskan pelaksanaan hudud, sebaliknya perlu menghormati perjuangan yang dibawa Pas.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini kerana jaminan hak beragama adalah sebahagian daripada prinsip persefahaman politik yang membentuk PR.

Menurutnya, usaha Pas untuk melaksanakan hudud adalah semata-mata kerana tuntutan agama Islam dan tidak melibatkan kepentingan politik.

Katanya, jika DAP menghormati perjuangan hudud oleh Pas dan tidak menentang sebarang usaha Pas untuk merealisasikannya mengikut saluran demokrasi, PR akan bertambah kukuh dan dihormati.

"Pecah atau kukuh PR adalah di tangan kita yang menentukan bukan di tangan Umno.

"Sebagai seteru di medan politik, memanglah hasrat Umno mahu PR berpecah. Tetapi pendirian dan sikap kita sendirilah sebagai rakan sekawan akan menentukan nasib hubungan kita," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, perjuangan hudud adalah aspirasi Pas sejak penubuhan parti itu dan DAP telah maklum mengenai perkara itu semasa PR diwujudkan.

Jelasnya, Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan (1993) 2015 yang dibentangkan kerajaan Kelantan semalam untuk pindaan adalah Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dengan penambahbaikan dari sudut laras bahasa dan akta, dan bukannya undang-undang baharu seperti yang didakwa.

"Sekali lagi saya tegaskan bahawa kunci keutuhan PR itu adalah pada sikap hormat-menghormati sesama kita. Malangnya, DAP tidak bersikap demikian.

"Maka, jika PR lemah, ia berpunca daripada sikap tidak hormat DAP terhadap Pas sendiri, bukan kerana Pas bertegas mahu laksanakan undang-undang jenayah Islam," katanya.