Isnin, 23 Mac 2015

DAP perlu lebih bersabar



Oleh Omar Mohamed


Idea yang dikemukakan LKS untuk membentuk pakatan baharu memaparkan sikap "longgar" beliau terhadap Pakatan Rakyat dalam mempertahankan ruh perlembagaan Malaysia sedia ada.

Bagi saya, Idea itu tidak membantu Malaysia ke arah sebuah negara bermaruah dan berintegriti. Penyakit lama yang ada dalam Barisan Nasional akan kekal dan berulang dengan pakatan baharu itu.

Ketakutan beliau terhadap kehilangan sokongan membawanya kepada idea pakatan tersebut yang hanya mengulangi pembentukan BN wajah baharu dengan skala lebih besar dan tiada jaminan kesempurnaan mengikut acuan dan cita-cita PR.

Apa yang beliau perlu lakukan pada perkiraan saya ialah hilangkan kebimbangan beliau terhadap usaha kerajaan Kelantan. Lebih tenang dan respon dengan melihat jauh ke hadapan. Jauhkan emosi dan kegopohan.

Kemudian beliau boleh mempengaruhi pimpinan DAP pusat agar menangguhkan sebarang keputusan berkaitan kerjasama dalam PR sehingga Umno memberikan pendirian rasmi.

Jika Umno Malaysia menolak hudud Kelantan, PR masih memiliki "petrol" untuk terus bergerak ke hadapan. Ini kerana, jalan untuk ianya diluluskan di Parlimen semakin sempit. Sesuatu yang memang mendukakan PAS namun itulah realitinya. PAS bersendirian, belum mampu menjayakan pelaksanaannya.

Jika Umno bersetuju, nantikan sama ada ianya akan lulus di peringkat Parlimen atau sebaliknya.

Sekiranya hudud akhirnya terlaksana di Kelantan, ketika itulah DAP boleh mengambil apa sahaja sikap yang dirasakan wajar pada perkiraannya walaupun akhirnya PR berpecah atau PAS disingkirkan atau mereka meninggalkan PR. Sesuatu yang sudah mustahil untuk dielakkan. Bukankah itu namanya prinsip perjuangan masing-masing didahulukan?

Namun, kesepakatan berhadapan dengan BN dalam pilihan raya akan datang masih boleh diteruskan. Sama ada ketika itu formasinya ialah PR + PAS atau PR + DAP, kejatuhan BN pasti akan mencantumkan semula ketiga parti ini.

Apakah DAP yakin dan percaya Umno akan melepaskan hudud Kelantan untuk dilaksanakan? Fikirlah berkali-kali. Ramai penganalisa melihat, agak mustahil untuk Umno melepaskan hudud di Parlimen pada ketika ini.

Justeru, DAP perlu lebih bersabar.

Allah lebih tahu.

Tiada ulasan: