Naib Pengerusi Pasma Kelantan, Che Ibrahim Mohamed Che Ibrahim Mohamed
 
 
KOTA BHARU - Naib Pengerusi Pasma Kelantan, Che Ibrahim Mohamed menyifatkan tindakan menyebarkan poster di laman sosial mendakwa beliau akan bertanding pada PRK Chempaka, 22 Mac ini sebagai agenda terancang pihak tertentu untuk memfitnah Pasma.

Menurutnya, sekalipun atas kapasiti bebas, Pasma tidak pernah berhasrat untuk bertanding, apatah lagi menentang Pas kerana matlamat penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu, untuk memperkukuhkan hubungan antara parti komponen PR, bukannya berlawan sesama sendiri.

“Pasma adalah sebuah NGO, bukan parti politik yang melayakkan kami untuk bertanding, malah kami juga tidak pernah bincang dan berhasrat untuk menentang Pas.

“Tujuan penubuhan Pasma bukan untuk menentang Pas, sebaliknya menjadi perantara dalam mengukuhkan semula hubungan antara Pas dan parti komponen PR,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Che Ibrahim turut menolak dakwaan mengaitkan dirinya sebagai calon, sebagaimana khabar angin yang tersebar dan menyifatkan ia agenda terancang pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim berkata, Pasma tidak pernah bermusuh dengan Pas, malah parti itu  sendiri sehingga kini belum membuat sebarang keputusan tentang pertubuhan itu.

“Dalam PR ada pemimpin anti PR, dan kumpulan ini yang menjadikan Pasma musuh mereka, sedangkan kami tidak bermusuh dengan sesiapa,” katanya.

Khabar angin mengaitkan Pasma dan PRK Chempaka tersebar apabila mendedahkan Che Ibrahim sebagai calon yang akan mewakili NGO berkenaan.