Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad Calon PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad. - Foto Bernama
 
 
 
KOTA BHARU - Calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad berharap menang majoriti besar dalam PRK Dun Chempaka yang akan ditentukan 22 Mac ini.

Menurutnya, walaupun penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Adun Chempaka sudah tiada, namun dia tetap berharap sokongan pengundi masih lagi bersama Pas.

“Bukan sahaja boleh menang, tapi kekalkan prestasi dengan majoriti besar seperti dicapai Tok Guru sebelum ini.

“Saya harap penyokong Pas masih lagi setia untuk PRK kali ini, perjuangan Tok Guru perlu diteruskan,” katanya demikian ketika berucap memperkenalkan diri kepada pengundi-pengundi di Kampung Tok Sadang, semalam.

Beliau juga berharap, anak-anak Dun Chempaka di perantauan pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab mengundi PRK kali ini.

“Anak-anak di Dun Chempaka perlu mengambil tanggungjawab, insya-ALLAH kemenangan kepada Pas seterusnya kebajikan rakyat akan dijaga dan dipelihara,” katanya.

Ahmad Fathan turut menasihatkan kepada semua pengundi agar tidak mengambil mudah dengan PRK kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Dun Chempaka 22 Mac ini manakala esok bagi pengundian awal.

Pada PRU13, Nik Abdul Aziz menang kerusi Dun Chempaka dengan majoriti 6,500 undi. Beliau mendapat 12,310 undi manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak memperoleh 5,810 undi.