Jumaat, 13 Mac 2015

Blog pro-Umno: Dr M tidak lagi sokong Najib

MALAYSIAKINI


 


Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi menyokong Datuk Seri Najib Abdul Razak susulan kelemahan kepemimpinan perdana menteri, termasuk isu isterinya dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dakwa seorang penulis blog pro-Umno.

Shahbudin Husin, penulis empat buku anti-Najib, mendakwa kesimpulannya itu selepas berbual dengan Dr Mahathir selama hampir sejam di pejabat mantan perdana menteri itu di bangunan KLCC semalam.

Tambah bekas pemimpin Pemuda Umno Wangsa Maju itu, butiran lain perbualan beliau itu tidak dapat didedahkan buat masa sekarang. Beliau juga tidak menyatakan siapa lagi terlibat dalam pertemuan itu.

"Tetapi dalam bahasa yang mudah, Mahathir tetap tidak bersetuju dan kekal dengan pendiriannya tidak lagi menyokong Najib sebagai perdana menteri," tulis ahli Umno itu di blognya hari ini.

Shahbudin berkata isu-isu lain yang menjadi isi perbualan mereka termasuklah mengenai beberapa pemimpin kanan Umno - Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein - masa depan parti itu dan peluang BN dalam pilihanraya umum akan datang.

"Pandangan kritikal Dr Mahathir hampir tidak berbeza dengan apa yang ditulisnya dalam dalam blog CheDet.cc hari ini yang mengkritik kekayaan keluarga perdana menteri dan serangannya yang lebih keras dalam isu-isu berkaitan 1MDB.

"Oleh itu, (berdasarkan pertemuan itu) saya melihat apa yang ditulis oleh bekas perdana menteri itu dalam blognya hari ini adalah cetusan naluri dan pendirian sebenarnya yang kekal tidak menyokong kepimpinan Najib," tambahnya.


Tiada ulasan: