Bisa penyerang import kian pudar Syamim (kiri) mempamerkan peningkatan persembahan dari masa ke semasa.
 
 
 
GAGAL meraih tiga mata sudah pastinya dirasai pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim apabila diikat seri tanpa jaringan ketika menentang Lions XII di Stadium Selayang, malam kelmarin.

Namun apa yang lebih mengecewakannya ialah prestasi penyerang import, Edward Junior Wilson yang beraksi bukan sebagai status pemain import malah pemain tempatan lebih berbahaya darinya.

Jelas Irfan Bakti, sebagai pemain import Wilson perlu memberikan lebih dari pemain tempatan, tetapi ia tidak berlaku dalam perlawanan malam ini.

"Saya amat kecewa dengan persembahan dipamerkannya, dia perlu kembali pada prestasi sebenar dan mempertingkatkan permainan pada masa akan datang sekiranya diturunkan beraksi.

"Pemain tempatan lebih  berbahaya darinya, persembahan malam ini jelas memperlihatkan aksi mengecewakan pemain tersebut," katanya ditemui selepas perlawanan.

Wilson diturunkan sebagai kesebelasan utama bergandingan dengan Makeche Ndumba di bahagian depan dilihat gagal memberikan sumbangan untuk mencipta gerakan mahu pun percubaan ke gawang gol Lions XII.

Kawalan bola kurang kemas selain sering kehilangan bola begitu ketara dipamerkan pemain Semen Padang FC ini (2008-2013) walaupun kurang diberikan kawalan ketat pertahanan lawan berbanding aksi Ahmad Syamim Yahya yang semakin mempamerkan aksi berkualiti.

Pemain kelahiran Monvoria, Liberia ini juga gagal menamatkan aksi 90 minit masa perlawanan apabila digantikan dengan pemain baharu The Fifghters, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-60.

Mengulas perlawanan menentang Lions XII, Irfan Bakti memuji tahap disiplin pemain lawan yang sentiasa membantu rakan apabila kubu diserang.

"Mereka beraksi dengan cemerlang, terutamanya penjaga gol, Izwan Mahbub, mungkin bola semua menuju ke arah badannya.

"Kita telah berusaha untuk mencapai tiga mata dengan beberapa peluang yang ada, secara keseluruhan kita memberikan tentangan sengit kepada pelawat," jelasnya.

Selepas berakhir empat perlawanan Liga Super, walaupun gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh, skuad The Fighters itu berjaya memintas Perak di kedudukan teratas liga, selepas Perak turut seri tanpa jaringan berdepan Kelantan, Jumaat lalu.

Felda United yang berkongsi lapan mata dengan Perak, mendahului kedudukan liga dengan kelebihan jaringan.