Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat
 
 
 
SHAH ALAM – Belum selesai isu pemimpin PKR dipanggil pihak berkuasa berikutan isu Himpunan #kitalawan, kali ini Bendahari Pemuda Pas, Fakhrulrazi Mokhtar pula dilaporkan ditahan pihak berkuasa.

Mengesahkan perkara tersebut, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, Fakhrulrazi akan dipanggil ke Balai Polis Dang Wangi untuk diambil keterangan berkenaan himpunan yang diadakan pada Sabtu lepas.

“Polis telah memanggil Ustaz Fakhrulrazi datang ke balai kerana isu himpunan #kitalawan. Hari ini dia akan ke balai pada jam 11.30 pagi.

“Dan kemungkinan akan ditahan seperti Nik Nazmi,” katanya menerusi aplikasi  Whatsapp.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli ditahan polis selepas membuat laporan isu yang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), semalam.

Penahanan Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR itu disahkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pada jam kira-kira 7:30 petang semalam.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad dan seorang kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifliditahanpada Sabtu lepas, bagi membantu siasatan.