KUALA LUMPUR: Baki dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
yang telah diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak US$1.103
bilion telah ditebus dalam bentuk wang tunai, kata Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dana tersebut masih disimpan
dalam mata wang US Dolar di BSI Bank Limited Singapore (BSI) Singapura,
bertujuan untuk memudahkan urusan pengeluaran wang.
"Keputusan untuk menggunakan bank di Singapura bertujuan untuk
memudahkan urusan pengeluaran wang memandangkan peraturan yang
ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan kelulusan BNM
diperoleh bagi setiap transaksi wang melebihi RM50 juta," katanya dalam
jawapan bertulis kepada Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) yang
diedarkan kepada media di lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pua telah meminta Menteri Kewangan agar menyatakan sama
ada baki wang sebanyak US$1.1 bilion yang telah dituntut oleh 1MDB
daripada pelaburan di Pulau Cayman, United Kingdom, adalah berbentuk
wang tunai atau masih dalam pegangan aset serta lokasi wang tunai atau
aset itu.
Semalam, Jabatan Audit Negara telah memulakan proses pengauditan 1MDB
sebaik menerima arahan daripada Perdana Menteri pada minggu lepas.
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata jabatan itu akan
memberi keutamaan dalam melaksanakan pengauditan syarikat pembangunan
strategik milik penuh kerajaan itu secara bebas dan profesional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan