GST
 
 
KUALA TERENGGANU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu mendapati masih ada 498 buah syarikat perniagaan di negeri ini yang gagal mendaftar di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan 1 April ini.

Pengarahnya Datuk Hamzah Sundang berkata, bagi menjejaki syarikat berkenaan, sebanyak 10 kumpulan dengan kekuatan 40 pegawai daripada bahagian GST, Penguatkuasaan, Pematuhan dan Perkastaman dikerah untuk ke premis berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi syarikat berkenaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 240 adalah di Kuala Terengganu, Kemaman (93), Dungun (70), Marang (35), Besut (33), Hulu Terengganu (15) dan Setiu (12).

"Pemilikan tunggal dikesan paling banyak tidak berdaftar iaitu 223, diikuti pemilik entiti syarikat (196), perkongsian (75) dan persatuan (empat).

"Pegawai dan anggota kita akan melawat premis berkenaan bagi menemu bual dan menyemak akaun syarikat berkenaan dan jika layak didaftar, pendaftaran secara paksa akan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Operasi GST' di Pejabat JKDM di sini hari ini.

Operasi yang dilancarkan serentak di seluruh negara itu akan berlangsung selama dua minggu bermula hari ini hingga 15 Mac.

Beliau berkata sehingga semalam, sebanyak 5,899 entiti perniagaan sudah didaftarkan mengatasi sasaran 4,000 premis dan JKDM berpuas hati dengan kerjasama baik daripada pemilik perniagaan di negeri ini.

"JKDM amat berterima kasih dengan maklum balas positif daripada semua syarikat ini dan harapan kami supaya mereka yang belum mendaftar cepat-cepat berbuat demikian bagi memudahkan semua urusan serta mengelak daripada didenda," katanya. - Bernama