Ahmad Fathan Mahmood Ahmad Fathan merakamkan gambar kenangan keluarga pengantin baharu menggunakan telefon bimbitnya.
 
 
 
KOTA BHARU - Calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood yakin aura Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebati dengan pengundi di Dun Chempaka boleh membantunya mengekalkan sejarah kemenangan parti itu pada PRK nanti.

Ahmad Fathan berkata, semangat dan kecintaan pengundi di Dun Chempaka terhadap Allahyarham yang masih kuat, boleh menolongnya mempertahankan kubu warisan Pas daripada bertukar tangan.

“Sentimen kecintaan kepada arwah masih tinggi. Inilah masanya untuk membuktikan sayang mereka kepada arwah Tok Guru memandangkan sejak tujuh penggal arwah Tok Guru berada di sini dan arwah sudah sinonim dengan masyarakat,” katanya kepada media, semalam.

Terdahulu, Ahmad Fathan menghadiri majlis perkahwinan anak Penghulu Mukim Pengkalan Nangka, Arshad Ibrahim iaitu Nuraniq Shafara, 23, dan pasangannya, Nor Ameer Najmi Nordin, 25.

Ahmad Fathan yang juga Imam Tua Masjid Al-Karomah turut mengakui suasana kempen ketika ini agak sejuk, memandangkan musuh tradisi tidak meletakkan calonnya sebagaimana dijanjikan.

“Walaupun musuh ketat tidak ada, tiada saingan besar tetapi ramai bertanding. Jadi, pada hemat saya penyokong tetap akan keluar menjalankan tanggungjawab mereka nanti.

“Insya-Allah kita akan berusaha memastikan momentum majoriti yang dimenangi arwah Tok Guru dapat dikekalkan. Namun kebiasaannya ketika PRK, jumlahnya akan berkurangan,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Fathan berkata, pendekatan bertemu mata yang menjadi senjata kempennya tetap diteruskan dan dimulakan sejak awal pagi lagi untuk mendekati masyarakat di Dun Chempaka bagi merealisasikan kemenangan tersebut.

“Jentera kita tetap bergerak, namun nampak agak perlahan kerana masing-masing baru memulakan kempen secara rasmi bermula semalam dengan menaikkan poster dan sebagainya,” katanya.

Ahmad Fathan juga mengharapkan tempoh PRK yang berlangsung ketika musim cuti persekolahan akan menyebelahinya, sekali gus boleh membantunya untuk mengekalkan rekod kemenangan Pas di Dun Chempaka, 22 Mac ini.