Jumaat, 13 Mac 2015

ATM perlu lebih telus, jangan guna alasan rahsia – Nur Jazlan

 FMT Reporters


Jabatan Audit Negara perlu melakukan pengauditan menyeluruh terhadap tatacara perolehan ATM dan ketiga-tiga cabang perkhidmatannya. 



nur jazlan mohamed_atm_300


KUALA LUMPUR: Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menggunakan alasan maklumat sensitif dan keselamatan negara untuk mengelak audit dan pertanyaan pemeriksaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu, alasan tersebut akan menutup penyelewengan yang berlaku sedangkan ia membabitkan wang rakyat.

Katanya, masalah alasan rahsia dan sensitiviti keselamatan telah menghalang PAC melakukan pemeriksaan ke atas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhubung pembelian helikopter Eurocopter beberapa tahun lalu.

“ATM perlu lebih telus dalam soal perolehan aset dan kelengkapan perkhidmatannya kerana ia menggunakan wang rakyat,” katanya.

Beliau menambah, “…dan tidak elok memberikan alasan tidak boleh mendedahkan tatacara perolehan atas sebab rahsia dan sensitif kerana dikhuatiri mengancam keselamatan negara sedangkan berlaku unsur penyelewengan dan rasuah di kalangan anggota dan pegawainya.”

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas penahanan beberapa pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) baru-baru ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi khas.

Sehubungan itu tegas Nur Jazlan, Jabatan Audit Negara (JAN) perlu melakukan pengauditan menyeluruh terhadap tatacara perolehan ATM dan ketiga-tiga cabang perkhidmatannya bagi mengelak berlaku unsur salah guna kuasa, ketirisan, penyelewengan dan rasuah.

“JAN perlu melakukan pengauditan terhadap tatacara dan prosedur perolehan ATM dan ketiga-tiga cabang perkhidmatannya bagi memastikan imej pihak berkuasa keselamatan ini sentiasa dihormati rakyat.

“Penahanan beberapa pegawai dan anggota TLDM oleh SPRM yang didakwa berlaku rasuah membabitkan perolehan pasukan keselamatan berkenaan adalah sesuatu yang mengejutkan memandangkan ia dilaporkan sudah berlaku sejak beberapa tahun lamanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, operasi SPRM itu membuktikan berlaku kelemahan dalam tatacara perolehan ATM dan pengauditan segera secara menyeluruh amat kritikal dalam menentukan penambahbaikan yang boleh diambil bagi mencegah perkara berkenaan berulang.

Katanya, beliau akan menulis surat kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang tidak lama lagi supaya jabatan berkenaan dapat melaksanakan audit segera secara menyeluruh terhadap tatacara perolehan ATM dan ketiga-tiga cabang perkhidmatan.

Tiada ulasan: