Jumaat, 13 Mac 2015

Akaun Tunku Azizah tutup lepas sindir Rosmah

MALAYSIAKINI


 


Akaun Instagram dikatakan milik Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah ditutup selepas baginda memuat naik status dikatakan menyindir isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Beliau, yang menggunakan nama “tengkupuanpahang”, tidak lagi ditemui di laman sosial berasaskan gambar itu.

Tunku Azizah sebelum ini memuat naik gambar sebungkus nasi dengan tulisan:

"There goes my diet (Ini diet saya)… Oleh kerana nak bayar hairdresser (pendandan rambut) mahal, saya hanya mampu beli nasi bungkus!

Status itu kemudian dikongsi meluas di Internet yang rata-rata penggunanya berpandangan ia ditujukan kepada Rosmah yang membangkitkan soal bayaran upah mewarna rambut dalam perkhidmatan rumah ke rumah.

Rosmah dalam taklimat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di pejabat Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) mengeluh soal bayaran mahal perkhidmatan rumah ke rumah.

Beliau antaranya bangkitkan caj mewarnakan rambut yang mencecah angka RM1,200.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang berada dalam majlis itu tampil membela Rosmah dengan berkata beliau tidak menggunakan khidmat mahal itu tetapi hanya bertanya harganya.

Status Tunku Azizah itu ditandai butang “like” lebih 1,000 kali oleh pengguna Instagram.

Walaupun tidak menyebut nama secara khusus, pembaca dilihat memahami maksudnya.

Ini antaranya tergambar melalui komen seperti: "Siapa makan cili dia rasa pedas."

Tulisan itu kemudian disunting dengan dipendekkan kepada "There goes my diet" sahaja.

Bagaimanapun akaun itu hari ini tidak dapat dikesan.




Tiada ulasan: