Isnin, 23 Mac 2015

Aisyah, produser BFM Kupas disiasat cerca Islam

ANTARAPOS.COM


Post Pic




PUTRAJAYA: Produser rancangan BFM Kupas dan penyampainya Aisyah Tajuddin  akan disiasat kerana mencerca Islam berikutan penyiaran video yang mempersoalkan pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mereka terbabit dengan video itu akan dipanggil untuk disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan selepas sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat terhadap video berkenaan, lapor The New Straits Times.

Katanya, mereka yang membuat laporan itu berasa agama mereka dipersenda.

“Kami mengambil keputusan memanggil produser rancangan dan penyampainya kerana stesen itu menyatakan Aisyah hanya membaca skrip sudah disediakan selepas meminta maaf di atas penyiaran video berkenaan.

“Video itu juga menyinggung perasaan pengikut (Islam) yang merasakan agama mereka dipersendakan,” katanya selepas merasmikan Maraton Berbasikal Polis Diraja Malaysia sempena sambutan ulang tahun ke-208 Hari Polis di Dataran Putrajaya, Presint 4, di sini, pagi ini.

Rancangan berbentuk bicara stesen radio itu dibidas oleh pelayar internet di laman sosial baru-baru ini, dengan beberapa daripada mereka membuat ancaman bunuh dan rogol terhadap Aisyah.
Khalid berkata, polis juga sedang menjejak pelayar yang membuat ancaman itu.

Beliau juga mengingat stesen penyiar supaya lebih bertanggung jawab ketika mengeluarkan bahan yang menyentuh isu sensitive seperti agama.

Tiada ulasan: