Selasa, 24 Mac 2015

Ahli Upko sedia serah IC, MyKad kepada JPN

 
Jika itu adalah mekanisme untuk menyiasat ketulenan IC dan MyKad, maka pemegang dokumen tulen tidak perlu takut dengan kesahihannya.


sabah ic ewon


KOTA BELUD: Ahli-ahli Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Kota Belud bersedia menjadi kumpulan pertama rakyat di Sabah untuk mengembalikan IC dan MyKad mereka secara sukarela bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara Sabah (JPN) menyiasat kesahihan dokumen mereka.

Ketuanya, Ewon Benedick berkata jika itu adalah mekanisme untuk menyiasat ketulenan IC dan MyKad, maka pemegang dokumen tulen tidak perlu takut dengan kesahihannya.

“Ahli-ahli Upko Kota Belud bersedia menjadi kumpulan pertama untuk kembalikan IC dan MyKad mereka kepada JPN,” katanya.

Upko Kota Belud mengulangi sokongan mereka terhadap cadangan untuk menarik balik semula kad pengenalan yang dikeluarkan di Sabah untuk membolehkan siasatan menyeluruh dan pengeluaran semula IC baru kepada rakyat tulen Malaysia di Sabah.

“Ahli-ahli Upko di sini gembira dengan kenyataan Pengarah JPN Sabah, Ismail Ahmad, mengenai kesediaan beliau untuk menarik balik semua IC dan MyKad Malaysia yang dikeluarkan di Sabah dan selepas itu mengeluarkan semula dokumen baru,” katanya.

Kenyataan pengarah JPN itu katanya, amat dihargai selepas isu berkaitan dengan pengeluaran IC dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah dibincangkan secara komprehensif dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas PTI.

Sudah lama rakyat, menunggu penyelesaian konkrit bagi isu ini kerana ini berkaitan dengan kedaulatan negara, katanya.

Kata Ewon, apa yang diperlukan untuk melaksanakannya ialah kekuatan politik daripada pemimpin eksekutif di negara ini yang diketuai Perdana Menteri.

“Jika PM mengumumkan komitmen yang dinyatakan oleh Pengarah JPN Sabah, saya rasa kita akan dapat menyelesaikan masalah nombor satu di Sabah ini, ” kata Ewon, menambah syor menarik balik semua IC itu adalah pendirian tiga parti utama di Sabah.

Tiga presiden parti utama iaitu Joseph Pairin Kitingan dari PBS, Bernard Dompok (Upko) dan Joseph Kurup (PBRS) mengumumkan cadangan menarik balik semua IC dan MyKad yang keluarkan di Sabah sebagai cara membanteras kebanjiran PATI di negeri ini, pada 24 Mac, 2013 di Hongkod Koisaan semasa pelancaran Program Tataba.

Tiada ulasan: