Ketua Pemuda Umno Bahagian Tebrau, Syahrin Md Jamaludin Syahrin Md Jamaludin
 
 
 
JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Islam disarankan supaya bersetuju dengan pembentangan rang undang-undang hudud apabila dibentangkan kelak atas dasar kesedaran, keinsafan serta yakin bahawa ia adalah sejajar yang disyariatkan dalam agama Islam sendiri.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Tebrau, Syahrin Md Jamaludin berkata, undang-undang itu perlu ditubuhkan bukan atas kepentingan politik sempit pihak tertentu sebaliknya benar-benar tulus serta ikhlas.

“Tidak ada istilah hudud Umno atau hudud Pas sebaliknya hudud ini adalah dari ALLAH. Kita wajib bersetuju selagi ia dilihat atas dasar kebenaran, keinsafan serta tanpa prejudis kerana ia adalah undang-undang daripada ALLAH.

“Pelaksanaannya juga dapat menyatupadukan umat Islam jika ia dilaksanakan dengan ikhlas dan penuh keinsafan serta dijangka akan mengubah sosio masyarakat secara keseluruhan. Jadi, ketepikan agenda sempit politik dalam hal ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas mengenai hasrat Dun Kelantan membentangkan enakmen berkaitan hudud itu di Parlimen nanti.

Beliau berkata, pihak berwajib perlu memberi tumpuan untuk memberi penerangan yang jelas kepada semua pihak supaya yakin dan faham bahawa undang-undang ini adalah peraturan yang terbaik untuk mencegah perbuatan jenayah.

“Selepas undang-undang ini dibentangkan kita tunggu dan lihat apa kesannya. Jadi, di sini, amatlah perlu mereka yang berwajib memberi kefahaman kerana ramai masih tidak faham serta yakin hingga prejudis termasuk umat Islam sendiri.

“Penerangan itu juga perlu dibuat kepada bukan beragama Islam kerana kita adalah sebuah negara yang majmuk. Kalau diikutkan mereka (bukan Islam) yang kuat menentang atas agenda politik.

Kata Syahrin, sudah sampai masa penjelasan perlu diberikan dan salah satu tuntutan agama perlu dituruti untuk mengelakkan berlaku syak dan fitnah terhadap agama oleh orang bukan Islam yang tidak faham undang-undang ini
.
“Saya kira ini juga adalah medium dakwah yang berkesan kepada orang bukan Islam yang mana secara tidak langsung mereka mulai mengetahui bahawa hudud adalah hukuman terbaik dalam dunia yang mana pelaksanaannya bukan memberikan kesan negatif.

“Hudud bukannya untuk menakut-nakutkan tetapi sebaliknya dapat mencegah masyarakat Islam meninggalkan perkara yang tidak baik. Mereka mungkin fikir mengenai potong tangan, tetapi sebenarnya undang-undang ini wujud untuk mencegah orang untuk potong tangan dan diharap kerajaan Kelantan dapat buktikan kepada masyarakat,” katanya.