Selasa, 17 Mac 2015

ABIM: Tahan Nurul Izzah tindakan pendek akal & cabul demokrasi

SELANGOR KINI


SHAH ALAM : Penahanan Polis terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar tindakan ‘pendek akal’ dan provokatif membuatkan rakyat semakin muak dan serik memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan, berkata ABIM mengecam penahanan itu yang tersasar dari landasan keadilan dan adalah pencabulan keterlaluan terhadap proses demokrasi.

Nurul IzzahKatanya, penahanan itu menggambarkan bahawa Nurul Izzah adalah seorang penjenayah yang berbahaya, berkemungkinan untuk melarikan diri dan tidak bertanggungjawab.

Langkah beliau secara berani menyahut notis panggilan ke Balai Polis Dang Wangi berkaitan himpunan Kita Lawan langsung tidak dihargai pihak polis.

“Ia sekaligus menggambarkan kerakusan dan sikap angkuh pihak berkuasa terhadap seorang yang jelas memberikan kerjasama bagi membantu siasatan,” kata Amidi dalam kenyataan media.

Beliau berkata persoalan layanan yang berbeza-beza di bawah akta yang sama juga amat memalukan.
“Kenapa langkah yang serupa tidak dibuat kepada YB Datuk Ismail Sabri dan Datuk Dr Mashitah Ibrahim?

“Kenyataan mereka dibuat di luar parlimen, tanpa sebarang rakaman tidak perlu direman berbanding kenyataan Nurul Izzah Anwar yang dibuat di dalam Parlimen dan dirakam melalui hansard Parlimen.
“Adakah ia terlalu rumit sehingga memerlukan tempoh reman ditambah?,” soal Amidi.

Beliau berkata ruang bersuara di Parlimen harus dihormati dan dibezakan dengan ucapan awam atau kenyataan di luar Parlimen.

Katanya, Parlimen adalah medan seorang wakil rakyat menyatakan sikap dan pendirian berprinsip mewakili rakyat yang memilihnya.

“Jika perkara berkaitan institusi dalam negara tidak boleh disentuh walaupun di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara, maka timbul persoalan, di manakah perkara ini boleh diutarakan?.

“Sedangkan Dewan Rakyat adalah satu korum yang sah dan mempunyai legitimasi tersendiri, dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Katanya, ABIM menggesa agar polis melepaskan beliau dari tahanan reman berpilih yang amat memalukan.

“Elemen provokatif seumpama ini harus dielakkan memastikan keamanan Malaysia terpelihara,” katanya.EZY

Tiada ulasan: