Sabtu, 14 Mac 2015

Abdul Hadi minta pengundi luar pulang mengundi


Hadi awang Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang
 
 
 
KOTA BHARU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru pengundi Dun Chempaka yang kini berada di luar negeri untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada 22 Mac ini.

Menurutnya, walaupun PRK kali ini BN tidak menghantar calonnya, namun itu bukan alasan mudah kepada pengundi untuk tidak pulang dan memberi majoriti kepada empat calon bebas yang turut bertanding.

“Umno tidak letak calon mungkin sebab malu, maka kita pun malu lah kalau tidak pilih calon Pas, kita mesti mengundi, saya harap semua rakyat Dun Chempaka akan pulang masa itu (hari mengundi), jangan pandang ringan hal ini,”katanya semasa menyampaikan ceramah di Taman Sari, Pengkalan Chepa, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob, Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh dan kepimpinan kerajaan negeri.

Menurutnya, seluruh dunia menghormati arwah bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga bekas Adun Chempaka itu, malah ia dibuktikan lagi dengan siaran langsung upacara pengebumian arwah oleh beberapa buah stesen televisyen di sini,12 Februari lalu.

Beliau berkata, rakyat Kelantan terutamanya pengundi Dun itu juga seharusnya melakukan perkara yang sama iaitu hadir untuk mengundi bagi menghormati perjuangan Islam arwah sebelum ini.

“Kita meneruskan amanah mengundi ini bagi memilih pengganti Tok Guru untuk mempertahankan dan menguatkan lagi kerajaan di bawah kepimpinan Tok Guru sejak lebih 20 tahun ini, rakyat Kelantan memilih Pas bukan hanya kerana pembangunan dan sebagainya, tetapi disebabkan perjuangan Islam yang diajar Tok Guru sebelum ini.

“Kemudahan dan pembangunan negeri adalah kewajipan kepada kerajaan pusat untuk bagi pada rakyat, walaupun kerajaan pusat buat Kelantan seperti negeri yang bukan milik Malaysia, namun kita masih boleh bertahan dan akan terus berjuang,” katanya.

Abdul Hadi juga turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua barisan kepimpinan Pas seluruh negara yang hadir membantu berkempen di sini.

Beliau turut memberi pesanan kepada pengundi tentera agar turut serta mengundi parti itu memandangkan BN tidak mengemukakan calon kali ini.

Tiada ulasan: