Jumaat, 13 Mac 2015

700 penguatkuasa DBKL siap siaga hadapi himpunan #KitaLawan

  THE MALAYSIAN INSIDER



 Anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur siap sedia hadapi himpunan #KitaLawan setiap mingu di Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac, 2015.Anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur siap sedia hadapi himpunan #KitaLawan setiap mingu di Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insider.  



























Kira-kira 700 anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan berikutan himpunan #KitaLawan yang akan diadakan setiap minggu di depan kompleks membeli belah Sogo, Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata pihaknya bekerjasama dengan polis untuk memantau dan mengawal situasi bagi mengelakkan kejadian yang boleh menggugat keselamatan orang ramai dan merosak harta benda awam ekoran daripada himpunan berkenaan.

"Himpunan kali ini mereka (pembangkang) tidak membuat permohonan. Peserta himpunan ini bukan saja berada pada satu-satu kawasan malahan mereka akan bergerak ke tempat lain.

"Walaupun menghadapi sedikit kesukaran dalam keadaan seperti itu namun kami akan beri perhatian terhadap kesiapsiagaan anggota (penguat kuasa) DBKL, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertubuhan Kesepakatan Anak Watan (Sepakat). Majlis tersebut turut dihadiri Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.

Sementara itu, Ahmad Phesal berkata penganjur #KitaLawan perlu memikirkan kesan negatif penganjuran himpunan berkenaan yang boleh mencemar imej negara di mata dunia.

"Kita sedia maklum tahun ini negara kita menjadi pengerusi Asean. Saya amat berharap elok mereka (penganjur) berfikir," katanya.

Sekretariat #KitaLawan memutuskan himpunan di depan Sogo diadakan setiap hari Sabtu pada jam 4 petang dan ia akan diteruskan biarpun tangkapan polis dibuat terhadap peserta pada minggu lepas.

Himpunan itu dianjurkan bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. – Bernama

Tiada ulasan: