MALAYSIAKINI
Ketelusan operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam melaksanakan
objektif penubuhannya tidak perlu dipertikaikan lagi kerana penyata
kewangannya kini terbuka untuk siasatan.
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir
Abdul Samad berkata, sekiranya berlaku sebarang penyelewengan, sudah
pasti Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara
(PAC) tidak akan terlepas pandang.
"Audit forensik yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa akan menyukarkan 1MDB melindungi urusan perjalanan syarikat itu.
"Sebarang langkah-langkah yang meragukan akan dipersoalkan JAN dan PAC
yang berkuasa menyoal siasat sesiapa sahaja berhubung urusan syarikat
(1MDB) sejak penubuhan pada 2009," katanya seperti dipetik dalam portal
rasmi BNBBC hari ini.
1MDB, syarikat pelaburan strategik berkaitan kerajaan yang ditubuhkan
pada 2009, menjadi fokus utama media dan masyarakat berikutan dakwaan
penyelewengan pengurusan kewangannya.
Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada 4 Mac lepas,
telah mengarahkan agar Ketua Audit Negara untuk meneliti dan mengesahkan
secara bebas akaun syarikat itu.
"Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian," kata perdana menteri.
Dalam pada itu, Shahrir, yang juga ahli Parlimen Johor Bahru berkata,
pengurusan 1MDB masih dilihat berdasarkan matlamat serta objektif awal
penubuhannya sebagai pelaksana idea strategik dan mempunyai strategi
jelas dari segi penjanaan kewangan serta struktur urus tadbirnya.
Bagaimanapun beliau dipetik portal itu sebagai berkata 1MDB menjadi isu
lantaran strategi penambahan 'rencah' laporan seperti menggunakan
personaliti tertentu serta pembabitan syarikat antarabangsa dari Timur
Tengah.
"Penggunaan istilah-istilah pilihan seperti memindahkan wang
(siphoning), disiasat (investigated) yang digabungkan dengan nama-nama
personaliti menyebabkan 1MDB menjadi isu menarik untuk diperbahaskan,"
katanya lagi.
Bagaimanapun, Shahrir menegaskan kepada portal itu bahawa, dari segi
aliran tunai, keadaan akaun 1MDB masih lagi stabil, dan beliau mendapati
terdapat beberapa fakta yang tidak tepat dilaporkan mengenai syarikat
itu menyebabkan ia begitu diragui.
"Untuk rekod, 1MDB mencatatkan keuntungan RM424 juta pada 2010, RM544
juta pada 2011, menyusut kepada RM44 juta kepada 2012, untung melonjak
RM778 juta pada 2013 namun mencatatkan kerugian RM665 juta pada 2014,"
katanya.
Malahan, katanya lagi, nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek Tun
Razak Exchange dianggarkan mencecah RM26 bilion dalam tempoh 10 hingga
15 tahun manakala Sungai Besi memiliki GDV sehingga RM35 bilion bagi
tempoh 15 hingga 20 tahun
Walaupun mempunyai aset-aset yang menjamin keuntungan jangka panjang,
Shahrir berpandangan bahawa 1MDB perlu meneliti semula pelan
perniagaannya untuk terus melangkah ke hadapan.
"Untuk masa kini, 1MDB perlu diasuh sepertimana yang dilakukan Khazanah
Nasional terhadap syarikat-syarikat yang berdepan masalah sewaktu krisis
ekonomi 1997.
"Situasi persekitaran masa hadapan adalah sukar namun jika diasuh, 1MDB
pasti mampu bangkit sepertimana dibuktikan Khazanah Nasional menerusi
kejayaan pelbagai syarikat sebelum ini," katanya dalam portal itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan