Selasa, 17 Mac 2015

1MDB : PAC Kemuka Input Tambahan

RAKYATNEWS


alt
 


KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengemukakan input tambahan bagi membantu Jabatan Audit Negara menyiasat berhubung pelbagai dakwaan terhadap akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata input itu akan dikemukannya kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam pertemuan bersama PAC yang dijadual minggu ini.

Input tambahan itu katanya, merangkumi beberapa perkara lain dan berbeza dengan arahan audit kepada akaun 1MDB oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

"Kita akan berjumpa dengan Ketua Audit Negara minggu ini bagi membincangkan mengenai skop dan input tambahan yang boleh dikemukakan oleh PAC kepada audit berhubung isu 1MDB ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, pertemuan itu nanti tidak bertujuan untuk menjelaskan hasil prosiding PAC terhadap 1MDB memandangkan Jabatan Audit Negara juga memerlukan masa untuk menjalankan pengauditan.

"Untuk prosiding pendengaran PAC kita harap dapat diadakan secepat mungkin, tapi bagi mereka (Jabatan Audit Negara laksana) audit dulu (dakwaan mengenai 1MDB).

"Kita tidak mahu bertindih tindakan dalam perkara ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen, hari ini.

Nur Jazlan juga mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat dakwaan dan tuduhan melulu terhadap 1MDB selagi laporan lengkap penyiasatan daripada Jabatan Audit Negara dikeluarkan.

Najib sebelum ini telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada PAC yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata, prosiding PAC hari ini telah memanggil Kementerian Pendidikan bagi memberi penjelasan berhubung projek 1Bistari.Net.

Dalam prosiding itu, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan projek berkenaan yang sebelum ini mencapai tahap kurang memuaskan oleh Jabatan Audit Negara terutama pada fasa pertama pelaksanaannya akan tetap diteruskan oleh kementerian.

Katanya, PAC juga dijadual akan memanggil bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran; Ketua Pengarah Pelajaran serta beberapa individu lain bagi mendengar dan meneliti beberapa aspek mengenai kelemahan dalam projek berkenaan.


Tiada ulasan: