Sabtu, 21 Mac 2015

1MDB: Kementerian Kewangan lepas tangan, tutup kesalahan sendiri

SUFI4412

 Roketkini.com

 
KUALA LUMPUR: DAP mengecam sikap lepas tangan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementeriaan Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang mendakwa kononnya 1MDB adalah isu kecil melibatkan satu syarikat yang sedang menjalani proses penstrukturan semula.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, alasan sedemikian sama sekali tidak munasabah dan tidak menjelaskan apa-apa di sebalik kebimbangan awam mengenai hutang 1MDB yang mencecah RM42 bilion, malah menunjukkan bahawa pihak kementerian sememangnya tidak boleh dipercayai.

“Sikap acuh tak acuh Irwan tentunya tidak akan mengembangkan keyakinan ramai bahawa skandal 1MDB boleh diselesaikan demi kepentingan rakyat Malaysia.

“Nampaknya kerajaan lebih mementingkan usaha untuk menutup skandal itu supaya ia tidak memburukkan lagi imej tuan-tuan politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP menggesa Irwan supaya menjelaskan bagaimana beliau telah membenarkan 1MDB melakukan tindakan terkutuk hingga menyebabkan kewangan negara berada dalam keadaan menyedihkan.

“Di manakah tadbir urus yang Irwan perlu dan boleh ambil untuk mengelakkan kemelut serta akhirnya menjadi kajian antarabangsa akibat salah urus kewangan?

“Mengapa Kementerian Kewangan melantik wakil dalam lembaga pengarah 1MDB untuk memastikan bahawa semua keputusan oleh ‘dana pembangunan strategik’ dibuat dengan telus dan usaha yang wajar?

“Sebagai penjawat awam yang menjaga kepentingan pembayar cukai, Irwan telah gagal menunaikan tanggungjawabnya berhubung kehilangan berbilion ringgit dalam skandal 1MDB dan kini beliau dengan selamba mendakwa ia hanya ‘isu kecil melibatkan satu syarikat?” soal Tony, tegas.

Semalam, dalam Sidang Kemuncak Keusahawanan 1ASEAN 2015 (1AES), Irwan mendakwa 1MDB hanya isu kecil yang melibatkan satu syarikat yang sudah melalui proses penstruktruran semula.
Beliau menyatakan, Ketua Audit Negara juga sedang mengaudit 1MDB dan apa yang harus dilakukan rakyat sekarang ini adalah tunggu dan lihat keputusannya nanti.

1MDB yang merupakan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan kini mendapat kritikan semua pihak berikutan penglibatan mereka dalam urusniaga yang diragui seperti usahasama dengan PetroSaudi International (PSI) dan ia melibatkan pemberian AS700 juta kepada pihak ketiga.

Pada Mac 2013, 1MDB telah mengambil US3 bilion bon untuk satu lagi usahasama dan wang tersebut akhirnya telah disalahgunakan untuk tujuan serta pelaburan lain. -Roketkini.com


Tiada ulasan: