Rabu, 4 Mac 2015

1.4 juta pemohon gagal, boleh buat rayuan BR1M

 
Rayuan boleh dibuat mulai 1 hingga 31 Mac 2015 di cawangan-cawangan LHDN


brim


PUTRAJAYA: Seramai 1.4 juta pemohon yang gagal mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) boleh membuat rayuan di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kata Datuk Ahmad Maslan.

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata rayuan boleh dibuat mulai 1 hingga 31 Mac 2015 dengan mengisi borang rayuan di LHDN dan diisi secara manual kerana permohonan rayuan tidak boleh dilakukan dengan kaedah online.

“Pemohon boleh mengisi borang rayuan dan mengemukakan dokumen sokongan berkaitan seperti penyata gaji terkini,” katanya.

Kata Ahmad Maslan 1.4 juta pemohon BR1M yang ditolak itu berpunca daripada kelewatan pemohon untuk mengemaskini maklumat dan secara tidak langsung kerana terdapat maklumat tidak tepat yang menjadi viral di media sosial yang mengatakan “sudah lulus tetapi tidak dapat.”

“Apabila pemohon lewat untuk mengemaskini seperti tarikh yang ditetapkan iaitu sebelum 31 Disember, maka lewatlah pemohon yang gagal untuk menerima BR1M.

“Selain lewat mengemaskini, punca kelewatan juga berpunca daripada pemohon yang membuat secara manual. Jika menggunakan sistem online, ia lebih mudah untuk diproses oleh pegawai yang menguruskan BR1M di setiap kawasan,” kata Ahmad Maslan.

Beliau juga menjelaskan rayuan dibuka kembali kerana khuatir ada kesilapan dalam penolakan pemohon BR1M.

“Disebabkan mereka hantar borang secara manual, mungkin terdapat kesilapan dalam proses kemasukkan data pemohon. Jadi semakan semula pemohon yang gagal perlu dibuat,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan, pemohon yang gagal itu boleh membuat rayuan dengan memberi surat sokongan seperti slip gaji dan surat caruman KWSP untuk menguatkan lagi rayuan.

Secara keseluruhan, kata Ahmad Maslan seramai hampir 7.2 juta pemohonan telah diluluskan bagi menerima BR1M 2015 yang merangkumi bantuan isi rumah RM950 kepada 4.1 juta penerima, bantuan isi rumah RM750 kepada 410 ribu penerima dan bantuan individu bujang RM350 kepada 2.7 juta penerima.

Pembayaran BRIM 2015 akan dibayar secara tiga peringkat dimana proses pembayaran peringkat pertama dijangka akan selesai dalam bulan Mac 2015.

Ujar Ahmad Maslan lagi, borang rayuan juga boleh didapati di laman web ebr1m@hasil.gov.my. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716.

Tiada ulasan: