Ahad, 22 Februari 2015

Zainal diminta kemuka butiran 34 projek TP1M

MALAYSIAKINI


Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman diminta mengemukakan butiran terperinci 34 projek yang telah diluluskan di bawah Tabung Penyelenggaran 1Malaysia (TP1M) sejak 2012.
              
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perancangan Bandar Negeri Jagdeep Singh Deo berkata butiran itu perlu dikemukakan kerana jumlah itu tidak sama dengan jumlah direkodkan Pesuruhjaya Bangunan di bawah  Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
              
"Terdapat dua projek diluluskan pada 2013 dan 13 projek pada 2014 dengan kos dari RM96,100 hingga RM1.9 juta yang turut melibatkan sumbangan kerajaan negeri antara 10 dan 30 peratus," katanya pemberita selepas majlis pelancaran Pameran Hartanah Malaysia yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng di George Town hari ini.
              
Katanya menurut rekod MPPP dan MPSP, juga terdapat 129 projek tidak diluluskan dalam tempoh berkenaan dan meminta Zainal Abidin menjelaskan perkara itu.
              
Beliau berkata pihaknya menerusi MPPP dan MPSP pernah menulis surat kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bagi meminta perkembangan permohonan pelbagai projek yang dibuat di Pulau Pinang menerusi TP1M pada Februari tahun lepas.
              
"Dalam surat berkenaan saya juga merayu supaya permohonan tertangguh yang masih belum diluluskan supaya diluluskan dengan cepat tanpa sebarang kelewatan lagi kerana ia melibatkan projek kritikal," katanya.
              
Jagdeep berkata bagaimanapun kerajaan negeri tidak pernah dimaklumkan mengenainya walaupun beberapa surat permohonan susulan telah dibuat beberapa kali dengan yang terbaru pada 16 Jan lepas.
              
Zainal Abidin dalam kenyataan akhbar pada 16 Februari lepas berkata sebanyak 16 projek diluluskan di bawah TP1M pada 2012, 2013 (lima) dan 13 projek pada 2014 melibatkan peruntukan sebanyak RM10.23 juta. Bernama

Tiada ulasan: