Isnin, 23 Februari 2015

UMNO, teladani kepimpinan Tok Guru – Ridhuan Tee

 
Jangan ukur kemajuan hanya dengan kaca mata dunia semata, lihatlah sama dari kaca mata akhirat.
ridhuan tee

PETALING JAYA: “Ketika wacana di Kota Bharu, suatu ketika dahulu, saya ditanya kenal atau tidak dengan Tok Guru Nik Aziz (TGNA) dan saya jawab kenal tetapi tidak taksub,” kata selebriti dakwah, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Katanya, beberapa perkara yang beliau tidak sependapat dengan TGNA terutama mengenai ultra kiasu, tetapi itu bukan bermakna beliau menolak segala kebaikan TGNA.

“Saya mengkagumi sifat tawaduk, zuhud dan gaya kepimpinan TGNA,” tulisnya di dalam ruangan rencana di akhbar Sinar Harian hari ini.

Beliau yang juga merupakan Pensyarah Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam, Unisza menolak dakwaan yang mengatakan negeri Kelantan tidak maju.

“Jauh di lubuk hati saya berkata bandar raya Kota Bharu, jauh lebih membangun dari bandar raya yang lain.

“Jangan ukur kemajuan hanya dengan kaca mata dunia semata, lihatlah sama dari kaca mata akhirat,” tambahnya.

Katanya lagi, tidak ramai pemimpin boleh ‘menolak dunia’ ketika berkuasa seperti TGNA kerana ramai “yang baru menjadi pemimpin sudah menjadi kaya.”

Ridhuan juga menyeru kepada semua umat Islam mencontohi gaya kepimpinan TGNA, walaupun tidak semua mampu untuk diikuti.

Selain itu, beliau juga menyarankan UMNO tidak perlu bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka kerana Kelantan tidak akan rugi di bawah PAS.

Beliau berkata apa yang lebih penting bukanlah merampas Kelantan tetapi Pulau Pinang dan negeri yang turut dikuasai ultra kiasu.

“Wang ringgit yang digunakan untuk bertanding di dalam kempen pilihan raya itu lebih penting jika digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan terutama mangsa banjir,” jelasnya.

Menurut Ridhuan, jika UMNO mahu kekal berkuasa dan menambah kerusi, gaya kepimpinan TGNA harus diikuti, terutama integritinya.

“Ingat kuasa bukan buka tiket untuk menjadi kaya, tetapi untuk menghambakan diri kepada Allah dan memakmurkan anugerahNya,” ujarnya.

Tiada ulasan: