Rafizi Rafizi
 
 
KELANA JAYA - Sesebuah parti di dalam PR tidak akan tersingkir atau disingkirkan daripada pakatan tersebut walaupun ada parti komponen yang mengambil tindakan tanpa persetujuan parti lain dalam pakatan itu.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, tidak ada undang-undang bertulis berkaitan perkara tersebut sejak pakatan berkenaan ditubuhkan pada 2008.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo yang mengatakan Pas bukan lagi sebahagian daripada ahli komponen PR sekiranya parti itu tetap membentangkan rang undang-undang pindaan hudud di persidangan Dun Kelantan pada 18 Mac ini.

“Buat masa sekarang, tidak ada (peraturan berkaitan hal tersebut).

“Tiada ada peraturan bertulis yang meletakkan syarat-syarat ketat dan tertentu yang kalau dilanggar atau tidak dipatuhi, akan menyebabkan dikeluarkan dan terkeluar parti tersebut daripada PR,” kata Rafizi.

Menurutnya, segala perselisihan faham sama ada kecil atau besar yang melibatkan parti dalam PR boleh diselesaikan melalui rundingan.

“Bagi saya, (cara) terbaik ialah kembali kepada meja rundingan.

“(Ini kerana), semua masalah sebelum ini (dapat) diselesaikan di meja rundingan (yang membabitkan) kepimpinan ketiga-tiga parti (itu),” katanya.