Isnin, 23 Februari 2015

Tangani ancaman dan ideologi Isis melalui perang siber, kata polis

 THE MALAYSIAN INSIDER



Cawangan Khas Bukit Aman berkata perang siber perlu dipertingkatkan dalam menangani ancaman serta ideologi kumpulan militan IS. – Gambar The Malaysian Insider, 22 Februari, 2015.Cawangan Khas Bukit Aman berkata perang siber perlu dipertingkatkan dalam menangani ancaman serta ideologi kumpulan militan IS. – Gambar The Malaysian Insider. 


Tumpuan kepada perang siber atau "cyber warfare" perlu dipertingkatkan dalam menangani ancaman serta ideologi kumpulan militan Isis daripada terus berkembang di negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata pendekatan holistik perlu diwujudkan dengan kerjasama semua agensi kerajaan berkaitan termasuk pihak berkuasa agama.

Sebagai contoh, perlu ada laman web untuk menjawab segala kemusykilan masyarakat termasuk dari segi agama yang berkaitan dengan Isis yang boleh dijawab secara dalam talian sepanjang masa, katanya.


"Langkah itu akan membolehkan orang ramai mendapatkan fakta yang tepat pada bila-bila masa secara dalam talian berhubung segala kemusykilan mereka dalam isu Isis," katanya kepada Bernama hari ini. Pihak berkuasa agama, sebagai contoh, boleh membetulkan semula kefahaman masyarakat dalam isu berkaitan jihad, katanya.

Ayub turut menjadikan negara jiran sebagai contoh memainkan peranan proaktif melalui laman web mereka untuk menerangkan mengenai kesesatan Isis.

“Mereka juga mengeluarkan pamflet berbahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin berkaitan penyelewengan Isis dan turun padang untuk edarkan kepada masyarakat bukan sekadar memberi syarahan di dalam televisyen dan khutbah semata-mata.

“Memang sudah tiba masanya untuk wujudkan "engagement" seperti ini termasuk ‘engagement’ dengan pihak media untuk ‘mendidik’ semula pemahaman masyarakat tentang jihad sebenar ... masalah ini bukan lagi masalah di Malaysia sahaja ia telah merebak secara global,” katanya.

Beliau menerangkan kekuatan bahagian media Isis adalah pada penguasaan mereka di dalam laman sosial dengan mempunyai beribu-ribu "cyber troopers" yang cekap dan pantas dalam menjawab kenyataan pihak lain terhadap penyelewengan mereka yang telah menyalahtafsirkan ayat Al-Quran dan Hadis.

Antara contoh penyelewengan Isis adalah mengaitkan habuan seks dengan jihad dan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan.

“Antara justifikasi mereka ialah kononnya menghalalkan persetubuhan dengan tawanan perang serta boleh bersetubuh dengan gadis di bawah umur yang belum baligh,” katanya.

Ayub berkata demikian ketika diminta mengulas ancaman kumpulan militan Isis serta penyebaran ideologinya yang tersebar secara meluas termasuk menggunakan saluran media sosial yang dilihat semakin membimbangkan apabila turut menyasarkan pelajar sekolah.

Rabu lepas, seorang gadis berusia 14 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang disyaki cuba menyertai kumpulan militant Isis di Syria.

 Gadis yang berasal dari Muar, Johor itu merupakan pelajar pengajian agama di sebuah institut tahfiz di Shah Alam.

Ayub berkata pemerhatian polis mendapati masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak memahami ideologi songsang yang diutarakan kumpulan itu secara "senyap" yang turut cuba mempengaruhi pelajar sekolah.

Katanya berdasarkan pemantauan, polis juga mendapati segelintir warga Malaysia masih cenderung untuk menyertai kumpulan militan di Syria walaupun telah banyak tangkapan dilakukan untuk menyekat pemergian mereka.

Beliau berkata isu pokok dalam ancaman Isis adalah penyebaran ideologi dan perekrutan yang dijalankan melalui media sosial secara agresif. – Bernama,

Tiada ulasan: