Ahad, 22 Februari 2015

Tak sampai 48 jam bermaharajalela, geng pecah 20 kereta ditangkap polis

Oleh: NAZLI IBRAHIM


SHAH ALAM: Geng pecah kereta yang bergerak aktif di kawasan Selayang Baru, Batu Caves, Selayang Jaya dan beberapa kawasan lain sekitar Gombak akhirnya dicekup polis Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, tiga lelaki berumur 24 hingga 26 tahun yang ditahan itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya 20 kes pecah kereta termasuk kejadian terbaru di Selayang Baru pada awal pagi hari sama mereka ditahan.

“Polis dah dapat pengakuan orang kena tahan (OKT) dan siasatan rapi dijalankan untuk menahan ahli lain serta geng lain yang ada kaitan dengan mereka.

“Mereka ini bukan seorang-dua atau satu- dua kumpulan sahaja. Saya percaya ada lagi di luar sana.

“Sebelum ini pun polis dah beberapa kali buat tangkapan tetapi masih ada lagi geng lain bergerak aktif,” kata Ali ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Jelas beliau kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Ali turut menasihati orang ramai lebih berhati-hati ketika mengendalikan barangan berharga termasuk ketika memandu.

“Jangan sesekali letakkan barang berharga di tempat yang mudah dilihat walaupun kita sendiri berada dalam kereta kerana mereka ini bertindak bila-bila masa bila berpeluang.

“Beg komputer riba, telefon bimbit, beg tangan wanita dan sebagainya yang diletak atas kerusi kereta boleh disamun dalam masa beberapa saat ketika berhenti di lampu isyarat,” kata Ali lagi.

Sebelum ini, media melaporkan tiga kejadian pecah kereta berlaku dalam tempoh empat hari di Selayang Baru sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina ini.

Antara mangsa itu, termasuk seorang pemilik kenderaan yang baru sahaja menukar cermin keretanya gara-gara kejadian jenayah sama beberapa hari sebelumnya.EZY

Tiada ulasan: