Isnin, 23 Februari 2015

Sungguh memalukan! – Cef Wan

 
Tidak ada isu lain ke hendak mencari pasal?


savelunpia


PETALING JAYA: “Sungguh memalukan,” tempelak cef selebriti Datuk Cef Wan berhubung tindakan kumpulan tertentu yang berdemonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi menuntut hak ke atas popia atau Lumpia Semarang.

“Tidak ada isu lain ke hendak mencari pasal?” soalnya lagi yang jelas kecewa dengan sikap permusuhan yang ditunjukkan atas alasan takut Malaysia menuntut hak makanan berkenaan sebagai hidangan tradisi negara ini.

“Sudahlah dunia di luar kecoh dengan orang bergaduh disebabkan pelbagai isu dan Allah turunkan makanan enak-enak supaya kita menjamu serta bergembira dan bersahabat bukannya suruh berperang. Islam ke orang-orang macam itu,” katanya kesal.

Sehubungan itu beliau menyelar tindakan yang dilakukan oleh segelintir rakyat negara jiran yang mendakwa ia adakah resepi ciptaan serta warisan mereka.

Menerusi akaun Instagram miliknya, Chef Wan mengatakan adalah sukar apabila terdapat manusia yang memiliki akal fikiran yang cetek serta pendek.

Beliau berpandangan kebanyakan mereka yang melakukan protes berkenaan tidak pernah ke luar negara dan berkesempatan melihat popiah atau spring roll yang mereka kenali sebagai Lumpia Semarang itu berada di serata dunia dan direka sejak zaman-berzaman dengan menggunakan pelbagai nama.

Beliau berkata, dari negara China hingga Filipina, juadah yang mereka panggil Lumpia sehinggalah ke Mexico yang diberi nama Chimicanga dan macam-macam lagi.

“Ideanya adalah sama iaitu makanan yang dibalut dan digulung lalu digoreng. Di Thailand mahu pun Vietnam turut mempunyai spring roll versi mereka sendiri dan tidak pula mereka itu menyalak ke negara asing seperti yang Indonesia lakukan,” katanya.

Tindakan sesetengah pihak di Indonesia juga mengundang reaksi keras Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang meminta piha terbabit menutup mulut daripada membuat tuntutan yang tidak masuk akal.

Katanya, tuntutan itu tidak wajar kerana Malaysia dan Indonesia merupakan negara serumpun Nusantara yang mempunyai pelbagai persamaan bahasa, budaya, tradisi termasuk makanan.

Kumpulan Forum Masyarakat Peduli Budaya Indonesia (Formasbudi), dikatakan mendakwa popia atau lumpia merupakan makanan khusus dari Semarang yang mendorong tindakan tunjuk perasaan di hadapan bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, baru-baru ini.

Kewujudan popia atau lumpia di Indonesia dipercayai diasaskan oleh Tjoa Thay Joe, seorang lelaki keturunan Cina yang menetap di Semarang, yang menikah wanita pribumi bernama Mbok Wasi pada tahun 1870 lalu.

Dalam bantahan tersebut, Bu Me Me yang mendakwa generasi kelima Thay Joe dan Mbok Wasi menuntut Malaysia tidak memasukkan popia dalam senarai makanan warisannya.

Popia adalah sejenis kuih yang popular sebagai makanan tradisi di seluruh Asia Tenggara dengan persamaan yang jelas antara beberapa negara jiran seperti Filipina dan Vietnam. Ia juga sudah sebati dalam masyarakat Korea, Taiwan dan Hong Kong.

Merujuk kepada pengaruh makanan itu di Malaysia, ia dikatakan berasal seiring dengan kedatangan para pedagang Cina pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah kemasukan bersistematik komuniti tersebut sewaktu pendudukan British di Pulau Pinang dan Singapura pada abad ke-18.

Tiada ulasan: