Speaker Dun Kelantan Datuk Abdullah Yaakob memegang surat kekosongan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kawasan N.06 Chempaka (kanan) dan salinan sijil kematian penyandang Dun Chempaka, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa mengadakan sidang media di pejabatnya di Kota Bharu hari ini. - Foto Bernama Speaker Dun Kelantan Datuk Abdullah Yaakob memegang surat kekosongan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kawasan N.06 Chempaka (kanan) dan salinan sijil kematian penyandang Dun Chempaka, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa mengadakan sidang media di pejabatnya di Kota Bharu hari ini. - Foto Bernama
 
 
KOTA BHARU - Berikutan kekosangan kerusi Dun Chempaka, selepas kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub akan menyerahkan notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
 
Abdullah berkata, notis tersebut akan dihantar menerusi serahan tangan kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof sendiri di Kuala Lumpur.
 
"Kini terserah kepada SPR untuk menentukan tarikh penamaan calon serta pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK).
 
"Berdasarkan kepada Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan telah memperuntukkan kekosongan kerusi Dun perlu diisi dalam tempoh masa 60 hari,”katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
 
Nik Abdul Aziz yang menghidap kanser prostat menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.40 malam di rumahnya di Pulau Melaka, kira-kira satu jam selepas dibawa keluar daripada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Khamis lalu.
 
Jenazah bekas Menteri Besar itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka pada pukul 10.55 pagi Jumaat.
 
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham Nik Abdul Aziz menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Wan Razman Wan Abdul Razak dengan majoriti 6,500.
 
Mursyidul Am Pas itu memperolehi sebanyak 12,310 undi manakala Wan Razman memperolehi 5,810 undi.