Shahrizat (kiri) ketika menziarahi keluarga bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ROSMIZA KASSIM Shahrizat (kiri) ketika menziarahi keluarga bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ROSMIZA KASSIM
 
 
KOTA BHARU - Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil secara peribadinya menyokong pandangan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed supaya parti itu tidak perlu meletakkan calon di Dun Chempaka.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut belum dibincangkan lagi diperingkat Exco Wanita dan itu hanyalah pendapat peribadi.

"Saya sokong pandangan itu. Saya rasa untuk Dun Chempaka tidak payahlah, sebab di Kelantan lain daripada Permatang Pauh, di Kelantan kita baharu sahaja melalui banjir.

"Perhatian perlu diberikan kepada pembangunan semula negeri ini," katanya kepada media sebentar tadi selepas meluangkan masa hampir dua jam menziarahi keluarga arwah bekas Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Pulau Melaka.

[ARTIKEL BERKAITAN: BN tak perlu letak calon tanding Dun Chempaka]

Shahrizat berkata, lagipun beliau melihat perjalanan kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan amat baik sekali dalam usaha membangunkan semula Kelantan setelah ditimpa bah kuning baru-baru ini.

"Jadi pandangan peribadi saya tidak payahlah. Bila ada PRK dan ada yang terkasar percakapan pula," katanya.

Mengulas mengenai PRK Permatang Pauh, beliau berkata, BN perlu meletakkan calon merebut kerusi parlimen itu.