Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
 
 
SHAH ALAM - Peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau akan terus memberi penerangan mengenai kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhammad Shafee, yang juga Ketua Pendakwa Raya dalam kes liwat Anwar berkata, beliau akan menyertai mana-mana sesi penerangan bagi menangkis tanggapan salah berkenaan kes itu.

“Saya tiada masalah nak teruskan dan balas hujah kerana rakyat berhak tahu kebenaran. Penjelasan ini bukan kerana kita marah (kepada) Anwar, tetapi kes beliau cuba diputarbelitkan.

“Saya nak perbetulkan sesetengah pihak seperti Majlis Peguam dan ahli politik yang mereka-reka cerita dan menghina mahkamah. Selagi ia berterusan, saya akan terus bercakap dan cerita yang benar,” katanya, semalam.

Malam kelmarin, kekecohan tercetus di luar dewan Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh, di mana beliau memberi penerangan mengenai kes itu melalui program Jelajah Liwat II.

Kelmarin, dua kumpulan berjumlah kira-kira 500 orang, dipercayai penyokong BN dan pembangkang, bertikam lidah dan memaki hamun antara satu sama lain, sejak sesi penerangan itu bermula jam 8.30 malam.

Kekecohan dipercayai tercetus setelah berlaku provokasi antara kedua-dua pihak dan turut disertai wakil-wakil beberapa NGO dan berlarutan hingga jam 11.30 malam.

Keadaan kembali tenang selepas itu setelah Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin yang juga Exco Pulau Pinang dan polis, meminta kedua-dua kumpulan bersurai.

Ditanya mengenai kekecohan itu, Muhammad Shafee berkata beliau tidak tahu mengenainya dan apa yang beliau tahu adalah situasi ketika itu berada dalam keadaan terkawal.

“Apa yang saya lihat, penyokong kedua-dua belah pihak duduk di seberang jalan dan memasang radio dengan kuat. Itu saja.

“Saya juga nampak ramai orang di luar pintu (dewan). Namun, sehingga saya keluar selepas program tamat (kira-kira jam 11. 30 malam), langsung tiada pergaduhan,” katanya.

Malah katanya, sehingga kini beliau tidak pernah menerima sebarang ancaman atau provokasi daripada pihak yang kurang senang dengan tindakannya memberi penjelasan berkaitan kes Anwar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Program Jelajah Liwat II kecoh]

Dalam pada itu, beliau menafikan semua sesi penerangan yang disertainya itu dianjurkan oleh Pemuda Umno.

“Sesiapa sahaja yang jemput, saya akan pergi. Dalam program semalam (kelmarin), saya dijemput oleh NGO Yayasan Mutiara Pulau Pinang.

“Malah, selepas ini sudah ada dua universiti jemput saya. Saya akan jelaskan dari segi akademik mengenai keputusan kes ini,” katanya.

Ditanya apakah beliau bersedia memberi penerangan sekiranya diminta oleh Umno dalam kempen di PRK Permatang Pauh, beliau berkata beliau akan melakukannya jika tiada kena-mengena dengan PRK dan politik.