Nur Jazlan Mohamed
 
 
KLUANG - Perbezaan pendapat antara anggota Umno adalah sesuatu yang sihat dalam parti dan boleh mencetuskan pelbagai idea dan pandangan berhubung sesuatu isu.

Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Umno merupakan parti komponen BN yang tidak menghalang pelbagai pandangan, jadi semua pihak boleh memberi pandangan mereka sendiri.
  
"Lagipun, Umno bukanlah sebuah parti yang mengikut telunjuk dalam semua perkara," kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), kepada pemberita selepas merasmikan majlis ceramah, 'IKWAS Executive Talk' anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam, di kampus Wilayah Selatan di sini hari ini.
  
Nur Jazlan mengulas keterbukaan beliau mengkritik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kenyataannya mahukan pengguna memboikot peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barangan.
  
Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, teguran kepada Ismail Sabri dibuat kerana ingin menjaga keharmonian Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
  
"Kita hidup dalam keadaan majmuk, dan jangan bercakap main lepas. Kenalah juga terima hakikat yang peniaga ini memang ada sebahagiannya dah pun turunkan harga," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:
  
Pada 1 Februari lalu, status yang dimuat naik Ismail Sabri dalam laman Facebooknya menggesa pengguna menggunakan kuasa memboikot peniaga yang menjalankan pernigaan secara tamak hingga enggan menurunkan harga barangan walaupun harga bahan api sudah turun.
  
Gesaan beliau mencetuskan reaksi kurang senang pihak tertentu.
  
Bagaimanapun, menteri itu kemudian menjelaskan bahawa kenyataannya itu bertujuan meminta rakyat menggunakan kuasa pengguna bagi menekan peniaga agar menurunkan harga barang.

Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan berkata Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada industri komoditi seperti kelapa sawit, minyak dan getah untuk menjana pendapatan dan ekonomi pada masa mendatang.
  
Ini kerana industri komoditi seringkali terjejas dengan harga jualan dunia.
  
Kira-kira 10 tahun lalu, kata beliau, negara hanya bergantung sebanyak 15 peratus kepada industri komoditi untuk menjana pendapatan tetapi hari ini ia telah bertambah kepada 30 peratus.
  
"Pada masa depan, Malaysia perlu pula menumpukan usaha untuk membangunkan industri kreatif seperti bio-sains.   

"Industri pembuatan kita tidak banyak menghasilkan nilai tambah ekonomi kerana hanya berasaskan konsep pasang siap," kata beliau. - Bernama