Ahad, 15 Februari 2015

Perikatan Progresif antarabangsa kecam tindakan penjarakan Anwar

anwar-ibrahim

-Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Semenjak keputusan memenjarakan Ketua Pembangkang selama lima tahun, kerajaan sehingga kini tidak putus menerima kecaman dari antarabangsa.

Terbaru, Perikatan Progresif (Progressive Alliance) yang berpengkalan di Berlin, mengutuk hukuman tersebut yang jelas sama sekali tidak adil kerana bermotifkan politik.

“Kes beliau telah menimbulkan persoalan antarabangsa yang membimbangkan mengenai kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang di Malaysia.

“Pendakwaan terpilih dan bermotifkan politik terhadap ahli-ahli pembangkang mempunyai kesan bahaya yang dramatik kepada pembangunan politik dan sosial di Malaysia.

“Kami menuntut keadilan, ketelusan dan kedaulatan undang-undang. Kerajaan Malaysia perlu menyedari akan kepentingan mewujudkan keyakinan dalam sistem kehakiman serta mengembalikan kepercayaan dalam komitmennya kepada hak asasi manusia,” kata Setiausaha Eksekutif kepada Biro Antarabangsa DAP Howard Lee Chuan How mewakili jaringan itu dalam satu kenyataan, semalam.

Perikatan Progresif juga turut menyatakan solidariti secara penuh kepada PKR, DAP, keluarga, rakan-rakan, keluarga Anwar, rakyat Malaysia dan Anwar sendiri yang kini menjadi mangsa kerajaan.

“Kami tidak akan pernah berdiam diri dalam menyaksikan ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia.

“Perikatan Progresif akan bekerja lebih rapat dengan rakan kongsi perikatan kami di Malaysia iaitu DAP dalam menegakkan kebenaran dan menyampaikan keadilan yang sama untuk semua.

“Kita perlu berdiri bersama-sama untuk prinsip-prinsip keadilan sosial dan hak asasi manusia, ke arah Malaysia yang lebih demokratik serta progresif,” kenyataan itu dipetik.

Perikatan Progresif merupakan sebuah jaringan antarabangsa yang dianggotai oleh parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan dan pergerakan-pergerakan masyarakat sivil yang berpendapatan dan mengiktiraf ideologi berhaluan progresif, demokratik, demokratik-sosial, sosialis serta pergerakan buruh.

Setakat ini, keanggotaan mereka tidak kurang daripada 120 organisasi dari seluruh dunia dan DAP turut berada dalam perikatan tersebut. -Roketkini.com

Tiada ulasan: