Rabu, 11 Februari 2015

Penglibatan Jho Low dalam 1MDB, Najib didesak berlaku jujur kepada rakyat

1mdb

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP sekali lagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan masalah sebenar dihadapi 1MDB, selain penglibatan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dalam syarikat milik penuh kerajaan itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, laporan terbaru yang didedahkan New York Times semalam menunjukkan 1MDB dan Jho Low sememangnya mempunyai urusan antara satu sama lain.

“Pendedahan New York Times semalam bahawa Low ‘kerap berunding mengenai tindakannya’ seperti mana dinyatakan tiga individu yang sentiasa berurusan dengan 1MDB, tetapi tidak mahu dikenali bagi memelihara hubungan adalah amat mengejutkan.

“Ini fakta bahawa Low dan 1MDB sejak beberapa tahun kebelakangan ini menipu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Jho Low sebelum ini bermati-matian berulang kali menafikan penglibatannya dengan 1MDB dan pernah mendakwa beliau ‘tidak pernah menerima pampasan’.

Dalam satu kenyataan 5 Mei tahun lalu, Low mempertahankan dirinya tidak pernah terlibat dalam sebarang urusan dengan 1MDB atau sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA)

Jurucakapnya mengatakan, Low dan syarikatnya tidak pernah menerima pampasan atau naungan secara terus daripada mana-mana entiti milik kerajaan.

Kenyataan yang dipetik menyatakan Low tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam 1MDB, dan hanya dilantik sebagai penasihat dalam TIA setelah diundang pemegang saham bermula Januari hingga Mei 2009.

Pada tahun 2012, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu Datuk Shahrol Halmi turut menafikan peranan Low yang disifatkannya sebagai ‘sifar’.

Namun tegas Tony, kini pembohongan tersebut dengan sendirinya terdedah bahawa peranan Low tidak pernah menghampiri angka ‘sifar’.

“Peranan beliau jauh lebih besar berdasarkan pendiriannya yang meragukan.

“Laporan Sarawak Report tahun lalu menyatakan Low terlibat aktif dalam keputusan 1MDB termasuk berkaitan PetroSaudi International Limited,” dedah Tony..

Sarawak Report sebelum ini mendedahkan aktiviti pelaburan Low disokong wang dana yang dipinjam daripada 1MDB.

Low mempunyai urusan perniagaan dengan 1MDB, termasuk tawaran RM5.7bilion untuk membida kumpulan hotel UK Coroin Ltd yang gagal pada 2011.

1MDB memberi surat sokongan kepada Kumpulan Wynton milik Low untuk membeli Coroin yang memiliki beberapa hotel, termasuk Claridge’s.

Low membuat bidaan tersebut bersama rakannya Sheikh Mansour Zayed of Abu Dhabi, yang juga pemilik kelab Manchester City. – Roketkini.com

Tiada ulasan: