Ahad, 22 Februari 2015

PAS tidak akan tunduk pada desakan DAP – Mahfodz

 
Tidak ada kerajaan perpaduan antara PAS dan UMNO, bukan presiden tapi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya membuat pakatan.


Datuk Mahfodz Mohamed


SERDANG : PAS tidak akan tunduk pada desakan DAP yang ingin menghalang undang-undang Hudud daripada dilaksanakan di negeri Kelantan, kata Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Katanya, Dewan Ulama tidak berganjak dengan pendiriannya untuk melaksanakan undang-undang Hudud kerana ia merupakan arahan daripada Allah S.W.T.

“Kenapa kita perlu ikut DAP kerana dasar mereka tidak lain, iaitu mahu ke Putrajaya.

“Kita memang mahu tetapi bukan sekadar menang. Ulama tidak terima apa alasan kerana kita perlu tegakkan arahan Allah S.W.T,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungannya pada Multaqa Ulamak Se-Malaysia kali kedua di Stadium Tertutup MPSJ , Serdang Jaya di sini hari ini.

Pelaksanaan hukum Hudud di Kelantan menjadi isu besar dan berpanjangan kerana ia ditentang rakan sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu DAP.

Mahfodz turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa PAS dilihat tergesa-gesa dalam melaksanakan hukum Hudud itu.

Katanya, dakwaan itu tidak benar kerana rang undang-undang itu telah diluluskan oleh DUN Kelantan sejak 1993 dan PAS memperjuangkan hukum tersebut lebih daripada 23 tahun.

Beliau turut membidas cubaan sesetengah pihak yang cuba menjatuhkan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan dakwaan terdapat cubaan untuk parti itu bersatu dengan UMNO

“Tidak ada kerajaan perpaduan antara PAS dan UMNO, bukan presiden tapi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya membuat pakatan.

“Ia diakui sendiri oleh anaknya Nurul Izzah Anwar apabila mengesahkan bahawa bapanya ada menerima tawaran menjadi timbalan perdana menteri, tapi mereka hamun Hadi, Anwar tidak pula kata apa-apa,” katanya.

Tiada ulasan: